SEREMBAN - Tindakan nekad seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba melanggar pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika serbuan di sebuah restoran di daerah ini pada malam Selasa tidak berhasil apabila berjaya dicekup.
Ketika kejadian, lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 40-an itu yang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa JIM.
Pengarah JIM Negeri Sembilan, Mohd Razip Yasin berkata, lelaki terbabit antara 31 PATI yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di 11 lokasi sekitar Tampin dan Seremban bermula pada jam 10 pagi sehingga jam 9 malam pada Selasa.
"Semasa operasi dijalankan di sebuah restoran yang tular di media sosial, seorang warga asing telah bertindak cuba melarikan diri dengan bersikap agresif serta cuba melanggar pegawai penguatkuasa menggunakan sebuah kenderaan.
"Bagaimanapun, tindakan tersebut berjaya dipatahkan dan suspek berjaya ditahan oleh pasukan operasi,"katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, dalam cubaan melarikan diri, suspek turut mengalami kecederaan pada bahagian muka sebelum berjaya diberkas.
Ujarnya, hasil risikan juga mendapati suspek sentiasa berada di dalam kenderaan untuk mengelak dari ditahan pihak penguat kuasa.
"Operasi ini dilaksanakan berdasarkan aduan dan maklumat orang awam kepada JIM Negeri Sembilan serta risikan selama seminggu.
"Secara keseluruhan, seramai 84 warga asing diperiksa dan hasilnya seramai 31 PATI yang berumur antara 19 hingga 54 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,"katanya.
Tambahnya, jumlah yang ditahan adalah 26 lelaki dan lima wanita membabitkan 15 lelaki warga Indonesia, seorang wanita Indonesia, dua lelaki warga Nepal, lima lelaki warga Vietnam, empat wanita warga Vietnam dan empat lelaki warga Bangladesh.
Mohd Razip berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada pas dan dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar peruntukan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.
Tegas beliau, pihaknya menyeru orang ramai agar tampil membuat laporan atau aduan bagi membantu usaha membanteras kebanjiran PATI di negara ini.
"Selain mengambil tindakan terhadap PATI, kami juga akan melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati menggaji atau melindungi PATI, termasuk tindakan pendakwaan di mahkamah," katanya.