WASHINGTON – Sebuah sistem komputer dari China telah merampas gelaran superkomputer paling pantas di dunia, sekali gus menamatkan hampir sedekad penguasaan Amerika Syarikat dan mencerminkan usaha Beijing membangunkan keupayaan pengkomputeran berprestasi tinggi menggunakan teknologi tempatan.
Sistem yang dikenali sebagai LineShine itu menduduki tempat teratas dalam ranking TOP500 yang diumumkan pada Isnin semasa persidangan pengkomputeran ISC di Hamburg, Jerman.
Ini merupakan kali pertama sejak 2017 sebuah superkomputer dari China berada di kedudukan pertama dalam senarai tersebut, yang diterbitkan dua kali setahun sejak 1993 dan dianggap sebagai penanda aras tidak rasmi kuasa pengkomputeran dunia.
LineShine telah menewaskan juara sebelum ini, superkomputer milik Jabatan Tenaga Amerika Syarikat, El Capitan, yang kini berada di tempat kedua.
Berasal dari bandar Shenzhen di selatan China, sistem itu mencatat kelajuan berterusan 2.2 exaflops, iaitu ukuran jumlah kiraan yang mampu dilakukan oleh komputer dalam sesaat.
Menariknya, LineShine dibina sepenuhnya menggunakan pemproses rekaan China, berbeza dengan sistem lain di dunia yang kebanyakannya masih bergantung kepada cip buatan Amerika Syarikat.
Amerika Syarikat masih mengekalkan tiga daripada empat kedudukan teratas dalam senarai itu, dengan El Capitan yang ditempatkan di Makmal Kebangsaan Lawrence Livermore di California berada di tempat kedua.
Di Eropah pula, sistem JUPITER Booster dari Jerman melengkapkan lima kedudukan teratas.- AFP