Women #QuranHour Summit: Wanita pemangkin utama sebar kesedaran isu Palestin

Iklan
Wanita disifatkan sebagai golongan yang memainkan peranan penting dalam menyebarluas kesedaran mengenai isu Palestin. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM - Wanita disifatkan sebagai golongan yang memainkan peranan penting dalam menyebarluas kesedaran mengenai isu Palestin, khususnya melalui institusi kekeluargaan sebagai asas pembentukan pemikiran dan nilai masyarakat.

Perunding alam sekitar, Dr Islam El-Habil berkata, usaha mendidik komuniti mengenai penderitaan rakyat Palestin mesti dibuat berterusan supaya isu berkenaan terus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa dan tidak dilupakan begitu sahaja.

Iklan
Iklan

Menurut aktivis Palestin itu, penyebaran maklumat mengenai konflik yang sedang berlaku di Palestin perlu bermula dari rumah kerana wanita memiliki pengaruh besar dalam mendidik anak-anak serta ahli keluarga tentang isu kemanusiaan.

"Kita perlu lebih banyak bercakap, mendidik dan menyebarkan kesedaran mengenai isu Palestin supaya mesejnya dapat sampai ke seluruh dunia. Ia perlu bermula dari setiap rumah dan keluarga.

Iklan

"Dalam konteks ini, wanita memainkan peranan yang amat penting kerana mereka mampu mendidik generasi muda serta mempengaruhi ahli keluarga untuk memahami realiti dihadapi rakyat Palestin," katanya.

Penyelidik akademik itu berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas program Women #QuranHour Summit (WQHS) 2026: ‘Women of Grit’ di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini pada Selasa.

Iklan

Tambah Islam El-Habil, meskipun masyarakat di Malaysia datang daripada latar belakang dan pengalaman berbeza, setiap individu boleh memainkan peranan mengikut kemampuan masing-masing dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.

"Kita perlu terus berusaha kerana genosid masih berlaku dan peperangan berterusan. Kesedaran masyarakat tidak boleh terhenti kerana rakyat Palestin masih memerlukan sokongan dunia.

"Walaupun kita berada jauh dari Palestin, masyarakat Malaysia sentiasa menunjukkan solidariti yang kuat terhadap perjuangan rakyat Palestin sejak sekian lama," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa hubungan dan sokongan rakyat Malaysia terhadap Palestin bukan sesuatu yang baharu.

Sebaliknya menurut beliau, ia telah lama wujud sejak peristiwa Nakba 1948 yang menyaksikan ratusan ribu rakyat Palestin kehilangan tanah air mereka.

Justeru, aktivis itu berharap lebih banyak tindakan dapat digerakkan oleh rakyat Malaysia bagi memastikan isu Palestin terus mendapat perhatian masyarakat dunia.

"Setiap orang boleh menyumbang mengikut latar belakang, kepakaran dan pekerjaan masing-masing. Apa yang penting adalah kita terus memainkan peranan serta tidak membiarkan isu Palestin tenggelam daripada perhatian umum," ujarnya lagi.

Women #QuranHour Summit (WQHS) 2026 dengan tema ‘Women of Grit’ diadakan bertujuan menyatakan sokongan dan solidariti kepada wanita di Gaza serta memperluaskan kesedaran mengenai perjuangan mereka dalam menuntut keadilan dan pembebasan Palestin.

Dianjurkan oleh Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (MWCQP) dan ApWCQP, program itu berlangsung dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini.

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif Saff Women Empowerment yang dilancarkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sempena World #QuranConvention Surah Al-Saff pada Disember 2025.