MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta pilihan raya dijadikan medan persaingan antara parti politik dan tidak sesekali dikaitkan dengan institusi raja.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, yang didakwa membuat sindiran terhadap, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) semasa berucap dalam sebuah program baru-baru ini.
Anwar berkata, beliau mempunyai hubungan dan persefahaman yang baik dengan TMJ serta berharap semua pihak tidak mengeruhkan keadaan berhubung isu tersebut.
“Kita usah panaskan suasana. Dia (Mohamad Sabu) beri pandangan. Saya juga ada perbincangan yang sangat baik dengan TMJ, sangat baik persefahamannya.
“Jadi, kita jalankan. Ini pilihan raya, biar antara parti. Jangan kaitkan institusi raja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREATE) pada petang Rabu.
Mohamad, ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambir pada Isnin, berkata PRN Johor perlu berlangsung secara adil dengan membiarkan persaingan antara parti politik tanpa kemunculan ‘pihak’ lain yang tidak boleh dilawan Pakatan Harapan (PH), sekali gus mencemar amalan demokrasi di negara ini.
Beliau berkata, ‘campur tangan’ tersebut tidak boleh mengubah amalan demokrasi negara semata-mata untuk memenuhi kepentingan politik atau individu tertentu.
Sistem demokrasi negara perlu terus dipertahankan dengan memberi ruang kepada parti-parti politik bersaing secara sihat sama ada untuk membentuk kerajaan atau memainkan peranan sebagai pembangkang.