PELABUHAN KLANG -"Saya mahu hilangkan penat sebab sekarang masa rehat."
Itu helah diberikan seorang lelaki warga asing ketika didapati bersembunyi di sebalik timbunan sampah dalam tong roro ketika serbuan Ops Mega sebuah kilang perabot Telok Gong di sini pada Rabu.
Individu terbabit mulanya dilihat sedang mencangkung dalam tong roro itu ketika pemeriksaan dijalankan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Pekerja kilang perabot berusia lingkungan 30-an itu memberikan alasan mahu menghilangkan penat selain mendakwa tidak berhasrat untuk bersembunyi.
Dalam operasi sama, seorang lelaki warga asing bertindak bersembunyi di tepi mesin pemotong kayu ketika serbuan dijalankan.
Individu itu mendakwa takut serta terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa ketika sedang menjalankan kerja-kerja pemotongan kayu.
Sinar Harian yang berpeluang mengikuti operasi bersepadu diketuai JIM Selangor serta pelbagai agensi itu mendapati pelbagai helah dan taktik digunakan beberapa warga asing untuk cuba meloloskan diri.
Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Selangor (Kawalan), Mohamad Khusairi Kamarudin berkata, seramai 252 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Ops Mega bermula jam 8 pagi.
Menurutnya, operasi itu membabitkan 50 pegawai dan anggota daripada JIM Selangor, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Seramai 520 warga asing telah diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati 252 lelaki warga asing berusia antara 18 hingga 50 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
"Antara yang ditahan ialah 175 warga Bangladesh, Nepal (33), Pakistan (39), Myanmar (4) dan Sri Lanka (1)," katanya ketika dalam sidang akhbar selepas operasi berkenaan pada Rabu.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk salah guna pas, tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan pemegang kad yang tidak diiktiraf.
Katanya, semua tahanan akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih bagi tujuan reman dan siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
"JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.
"Kita juga menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada JIM sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kehadiran PATI atau aktiviti yang menyalahi undang-undang imigresen," katanya.