Che’gu Bard diarah bela diri kes fitnah Agong

Iklan
Badrul Hisham yang memakai kemeja berwarna merah jambu, hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memerintahkan aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard membela diri atas satu pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dua tahun lalu.

Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum ini melepaskan dan membebaskan Badrul Hisham, 47, di akhir kes pendakwaan.

Iklan
Iklan

Noor Ruwena memerintahkan kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk prosiding pembelaan.

Semasa membacakan keputusan, Noor Ruwena berkata, mahkamah berpuas hati terdapat keterangan dalam kenyataan bekas Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson itu bersifat tidak benar dan tergolong sebagai fitnah.

Iklan

Menurutnya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap Badrul Hisham selaku responden, namun dapatan itu masih boleh disangkal di peringkat pembelaan.

“Pada pandangan saya, ini merupakan undang-undang mantap untuk Mahkamah Tinggi campur tangan, jika ada kesilapan dari segi fakta dan undang-undang oleh mahkamah rendah.

Iklan

“Di peringkat ini, beban pembuktian secara keterangan telah beralih kepada responden untuk mengemukakan penjelasan yang munasabah bagi menolak kes pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah yang mendengar kes pembelaan kelak perlu menilai sama ada penjelasan yang dikemukakan tertuduh boleh dipercayai dan munasabah sehingga menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

Dalam prosiding itu, Badrul Hisham diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizal @ Amrin Noor Hadi.

Pada 29 April 2024, aktivis politik itu didakwa atas satu pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah dengan mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa perkara tersebut boleh merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara jam 6 petang pada 22 Januari 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 4 November tahun sama, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Badrul Hisham selepas Hakim, Norma Ismail memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.