KUALA KRAI – Maahad Ashraf Al-Abrar di sini terus memperkukuh peranan sebagai institusi pendidikan tahfiz apabila pelajar di pusat berkenaan mengikuti rutin harian meliputi hafazan Al-Quran, pengajian kitab turath serta Bahasa Arab dalam suasana pembelajaran yang sedang dinaik taraf.
Timbalan Mushrif Maahad Ashraf Al-Abrar, Drs Nazaruddin Jalaluddin berkata, masjid di institusi itu menjadi pusat utama aktiviti harian pelajar termasuk solat lima waktu, solat sunat dan sesi pengajian ilmu agama.
"Masjid ini digunakan sepenuhnya untuk solat berjemaah, hafazan Al-Quran, serta pengajian kitab turath dan Bahasa Arab," katanya.
Beliau yang pernah menerajui Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (PERMATA) dari 2004 hingga 2011 berkata, persekitaran pembelajaran di maahad berkenaan memberi penekanan kepada pembinaan ilmu dan sahsiah pelajar secara seimbang.
Menurutnya, pelajar di institusi itu bukan sahaja mengikuti program hafazan 30 juzuk Al-Quran, malah turut didedahkan dengan pengajian Ulum Al-Quran serta kitab turath secara berstruktur.
"Pembentukan pelajar di sini merangkumi disiplin, hafazan dan penguasaan ilmu agama secara menyeluruh," katanya.
Ujar beliau, maahad berkenaan turut menawarkan laluan pendidikan lebih luas termasuk Fast Track SPM, kemudian selesai diploma di Kolej Universiti KIAS akan diterima tahun tiga di Universiti Al-Azhar Mesir, disamping berpeluang menyambung pengajian ke Universiti Jordan dan Tunisia.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, kerja-kerja pengecatan dan penambahbaikan kemudahan masjid sedang dijalankan bagi memastikan keselesaan pelajar dan jemaah.
Tambahnya, antara keperluan yang dikenal pasti ialah pembinaan menara dan kubah masjid, pemasangan karpet baharu, sistem pembesar suara serta pengubahsuaian dewan warga emas dengan anggaran kos RM135,000.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Islam 03072010133809 atas nama maahad berkenaan atau menghubungi 012-9837938 (Ustaz Naza) untuk maklumat lanjut.