JOHOR BAHRU – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memberi bayangan akan membuat satu pengumuman penting pada 27 Jun ini susulan perkembangan terbaharu pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menerusi kenyataan di Facebook, beliau mendakwa terdapat beberapa perkara yang 'tidak kena' kepada UMNO Johor selepas melihat senarai calon yang akan diumumkan pada Rabu.
Iklan
Iklan
"Hari ini BN Johor akan umum senarai calon yang akan bertanding di PRN Johor 2026. Melihat senarai calon tersebut ada yang tidak kena kepada UMNO Johor.
"Justeru saya akan membuat pengumuman penting pada 27 Jun 2026. Perkembangan terkini UMNO Johor merisaukan. Saya tidak akan menoleh belakang walaupun saya hanya insan kerdil," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Mohd Puad berkata, enam hari lalu beliau telah mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada PRN Johor atas faktor usia serta mahu memberi laluan kepada pemimpin muda yang terlatih dan berpendidikan.
"Saya menegaskan, orang muda terlatih dan berpendidikan semestinya diberi peluang. Tetapi tidak diindahkan. Saya melakukan 'keberanian politik' untuk meneruskan perjuangan," ujarnya.
BN dijangka mengumumkan senarai calon bagi PRN Johor di Pejabat UMNO Johor pada jam 2.30 petang hari ini.