Kerja baik pulih Rumah Pam Kobat siap lebih awal, gangguan air pulih berperingkat

Iklan
Gangguan bekalan air di Kuantan pulih secara berperingkat selepas kerja penyelenggaraan Rumah Pam Kobat siap lebih awal. Gambar hiasan

KUANTAN – Gangguan bekalan air yang menjejaskan pengguna di sekitar daerah ini dijangka pulih secara berperingkat selepas penyelenggaraan di Rumah Pam Kobat berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual apabila keseluruhan proses selesai pada jam 6 pagi Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, kerja penyelenggaraan melibatkan kesemua instrumen penting di rumah pam berkenaan berjaya dilaksanakan dengan efisien dan tanpa sebarang insiden.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejayaan pelaksanaan kerja itu akan membantu memastikan kelestarian bekalan air bagi daerah Kuantan pada masa hadapan.

"PAIP turut mengambil kesempatan melaksanakan beberapa kerja baik pulih sampingan termasuk kerja senggaraan dan penggantian geganti oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta pembaikan gasket bushing bagi transformer.

Iklan

"Langkah ini membolehkan semua kerja berkaitan diselesaikan secara menyeluruh tanpa perlu melibatkan sebarang gangguan tugas lain pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pam air mentah di Rumah Pam Kobat kembali beroperasi pada jam 7 pagi dan sumber air mentah mula disalurkan ke Loji Rawatan Air (LRA) Semambu untuk diproses sebagai air terawat.

Iklan

Menurutnya, tangki imbangan dan tangki simpanan turut dipenuhkan bagi membina tekanan serta aliran yang baik dalam sistem agihan bekalan air.

"Sehubungan itu, pengguna dijangka menerima semula bekalan air secara berperingkat dalam tempoh terdekat.

"Pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan dan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan dalam sistem agihan bekalan air," katanya.

Beliau berkata, bekalan alternatif seperti lori tangki dan tangki statik akan terus disediakan di kawasan yang masih terjejas sehingga semua kawasan pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tersebut.

Pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) di 09-5739999 yang beroperasi selama 18 jam sehari bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.