DULU, ramai rakyat Malaysia akan berfikir panjang sebelum menekan butang beli tiket kapal terbang ke luar negara.
Kos penginapan, makan minum dan kadar pertukaran mata wang menjadi faktor utama yang membuatkan ramai memilih untuk bercuti dalam negara sahaja. Namun suasananya kini berbeza.
Pengukuhan nilai ringgit berbanding beberapa mata wang serantau memberi keyakinan baharu kepada rakyat Malaysia melancong ke luar negara.
Bukan kerana pendapatan meningkat mendadak, tetapi kuasa beli mereka meningkat apabila berada di negara lain. Ringgit kini muncul antara mata wang terbaik prestasinya di Asia pada tahun 2026.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ringgit masih menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di rantau ini dan kekal mencatatkan peningkatan positif berbanding dolar Amerika Syarikat.
Dalam keadaan ekonomi dunia masih berdepan pelbagai ketidaktentuan termasuk konflik geopolitik dan turun naik harga tenaga, prestasi ringgit dilihat agak memberangsangkan.
Kesan paling ketara dapat dilihat di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand malah negara matahari terbit.
Dengan nilai ringgit yang lebih kukuh, rakyat Malaysia kini memperoleh lebih banyak rupiah atau baht untuk setiap ringgit yang ditukar.
Ramai pelancong dari Malaysia mengakui mereka terasa seperti 'orang kaya baharu' ketika bercuti di Indonesia susulan nilai tukaran mata wang yang lebih tinggi.
Ungkapan seperti 'dekat Malaysia B40, dekat Indonesia jadi T20' mungkin sekadar gurauan, tetapi ia menggambarkan realiti kuasa membeli lebih tinggi di sana.
Dengan hanya RM500, mereka boleh memperoleh hampir 2 juta Rupiah, sekali gus membuatkan kos makan, penginapan dan membeli-belah terasa jauh lebih murah berbanding negara sendiri.
Sebab itu semakin ramai memilih bercuti ke Indonesia dan Thailand kerana dengan bajet sama, mereka boleh menikmati lebih banyak pengalaman dan perbelanjaan yang lebih selesa.
Presiden Persatuan Hotel Hat Yai-Songkhla, Sittipong Sitthiphataraprabah berkata, sepanjang cuti Aidiladha dan cuti persekolahan lalu, hampir 300,000 pelancong Malaysia memasuki selatan Thailand melalui sembilan pintu sempadan darat.
Destinasi seperti Songkhla, Satun, Krabi dan Surat Thani menjadi tumpuan, dengan hotel di beberapa kawasan utama penuh ditempah. Sektor pelancongan negara itu juga meraih pendapatan melebihi satu bilion baht.
Jepun memang sentiasa jadi destinasi impian ramai rakyat Malaysia. Dengan kadar pertukaran semasa yang lebih memihak kepada ringgit, inilah antara waktu paling sesuai.
Pengukuhan ringgit berbanding yen membuatkan kos percutian jadi lebih mesra bajet.
Penginapan, pengangkutan, makanan, malah beli-belah pun terasa lebih murah.
Bayangkan kalau dulu asyik tengok gambar Gunung Fuji, bermain salji di media sosial, sekarang sudah boleh merasainya depan mata, tanpa perlu terlalu risau soal bajet.
Inilah kelebihan bila mata wang negara mengukuh. Dengan jumlah wang sama, kita boleh dapat lebih banyak yen dan nikmati lebih banyak pengalaman sepanjang berada di sana.
Namun begitu, penting untuk faham bahawa rasa seperti 'orang kaya' ini sebenarnya datang daripada kelebihan kadar pertukaran mata wang semata-mata.
Apa yang lebih penting sebagai pelancong Malaysia, kita perlu 'kaya adab' apabila berada di negara orang.
Ambil pengajaran daripada kontroversi membabitkan sekumpulan pelancong Malaysia yang didakwa menghina penduduk tempatan ketika bercuti di China.
*Nurkhairini Jumari ialah Sub Editor Sinar Harian