Tular makan ubi kayu goreng bersama kucing, Pak Cik Rosly rupanya penerima bantuan sejak 2018

Iklan
Nur Azizah (kanan) mengunjungi rumah Pak Cik Rosly bersama pasukannya.

PORT DICKSON - Kisah seorang warga emas tular di Threads kerana berkongsi kehidupannya yang hanya menjamah ubi kayu goreng bersama kucing-kucing peliharaannya mendapat perhatian ramai pihak termasuk Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

MAINS memaklumkan, warga emas dikenali sebagai Pak Cik Rosly yang menjadi perhatian warganet itu sebenarnya merupakan penerima bantuan zakat MAINS secara bulanan sejak 2018.

Iklan
Iklan

Menurut MAINS, berdasarkan rekod, beliau menerima bantuan zakat bulanan sebanyak RM250 selain bantuan bulanan barangan dapur berjumlah RM100.

Rumah yang didiami Pak Cik Rosly kelihatan tidak terurus dan memerlukan perhatian.

Iklan

Beliau turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan.

MAINS menjelaskan, berdasarkan rekod sama, Pak Cik Rosly turut pernah menerima bantuan membaiki motosikal berjumlah RM500 pada Disember 2025 serta bantuan perubatan berjumlah RM450 pada tahun yang sama menerusi dana zakat.

Iklan

Susulan kisah tular, MAINS telah menziarahi Pak Cik Rosly di rumah yang ditumpanginya di Kampung Baru Sungai Menyala, di sini pada Isnin.

Pak Cik Rosly bagaimanapun menjelaskan bahawa hantaran di Threads sebelum ini bukan bertujuan meraih simpati, sebaliknya hanya ingin berkongsi kisah kehidupannya bersama lima ekor kucing yang dipelihara.

Hantaran berkenaan bagaimanapun mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang tampil menghulurkan bantuan dalam bentuk wang tunai melalui pindahan kod QR, selain menyumbangkan pelbagai barangan keperluan.

Malah, terdapat juga individu yang mengirimkan bantuan kepada warga emas itu melalui perkhidmatan kurier.

Susulan kisah tular berkenaan, MAINS menziarahi Pak Cik Rosly (tengah) di rumah yang ditumpanginya di Kampung Baru Sungai Menyala pada Isnin.

Dalam pada itu, MAINS mendapati keadaan rumah yang didiami Pak Cik Rosly kelihatan tidak terurus dan memerlukan perhatian.

Sehubungan itu, MAINS yang hadir bersama Penghulu, Ahmad Fareez Mohamad Fauzi, memaklumkan pihaknya akan berusaha membantu mengadakan program gotong-royong bagi meningkatkan keselesaan warga emas berkenaan.

MAINS turut merakamkan penghargaan kepada semua pengguna media sosial yang prihatin dan budiman kerana tampil membantu Pak Cik Rosly.

Pada masa sama, pihak itu turut mengucapkan terima kasih kepada para pembayar zakat yang terus menyokong usaha membantu golongan memerlukan.

Lawatan berkenaan diketuai Pegawai MAINS Daerah Port Dickson, Nur Azizah Abdul Aziz bersama pasukannya.