Terlanggar tali ampaian, pakaian jatuh punca murid dipukul, ditarik rambut

Iklan
Azmir berkata, seramai empat saksi dalam kalangan murid asrama telah dirakam keterangan kerana mengaku menyaksikan sendiri kejadian tersebut.

TENOM - Terlanggar tali ampaian sehingga menyebabkan pakaian terjatuh dipercayai punca seorang murid Tahun Lima dipukul, ditendang dan ditarik rambut oleh seorang murid lain dalam kejadian di sebuah asrama sekolah rendah di daerah ini.

Dalam kejadian pada 11 Jun lalu itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan retak pada bahagian kaki kiri serta sakit pada bahagian muka.

Iklan
Iklan

Kejadian tersebut kemudian mendapat perhatian orang ramai selepas video yang didakwa memaparkan perbuatan buli itu tular di media sosial sejak pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa mangsa berusia 48 tahun pada jam 8 pagi Selasa selepas melihat rakaman video daripada sepupunya yang memaparkan anak perempuannya dipukul dalam kejadian di asrama sekolah.

Iklan

"Kejadian berlaku antara jam 6.30 petang hingga 7.30 malam apabila mangsa dikatakan terlanggar tali ampaian asrama sehingga menyebabkan pakaian milik suspek terjatuh ke tanah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, suspek yang berang terus memarahi mangsa sebelum menarik rambutnya dan membawa masuk ke dalam bilik asrama.

Iklan

"Suspek kemudian bertindak memukul, menyepak serta menarik rambut mangsa secara bertubi-tubi," katanya.

Katanya lagi, dalam kejadian sama, dua murid perempuan lain turut merakam insiden berkenaan menggunakan telefon bimbit milik suspek atas arahan suspek sendiri.

"Dua hari selepas kejadian iaitu pada Sabtu, suspek telah memuat naik video yang dirakam oleh dua rakannya menggunakan telefon bimbit miliknya melalui status WhatsApp, sebelum memuat turunnya semula pada jam 3 petang.

"Sepanjang berada di rumah pada hujung minggu, mangsa tidak menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya," katanya.

Azmir berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan berhubung video tular berkenaan termasuk sumber dan bagaimana ia disebarkan di media sosial.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati rakaman video yang tular adalah sepadan dengan keadaan di lokasi kejadian, dengan kesemua individu dalam video dikenal pasti berada di tempat kejadian sebenar.

"Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam asrama berkenaan," katanya.

Tambah beliau lagi, seramai empat saksi dalam kalangan murid asrama telah dirakam keterangan kerana mengaku menyaksikan sendiri kejadian tersebut.

"Suspek dan murid lain masih di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 325/507B Kanun keseksaan," katanya.