SHAH ALAM - Kejadian pelajar terjatuh dari bangunan sekolah yang dilaporkan sejak kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya masalah yang melibatkan jiwa dan kesihatan dalam kalangan anak-anak.
Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini kerana anak-anak pada hari ini membesar dalam suasana dan persekitaran yang amat berbeza berbanding dengan generasi dahulu.
Menurutnya, mereka membesar dalam ledakan digital yang menjadikan dunia ini seolah-olah tiada sempadan.
"Jadi cara pemikiran dan emosi mereka dicorakkan oleh pelbagai elemen dan tekanan di sekeliling yang hadir dalam pelbagai bentuk dan sudut.
"Sebagai seorang ayah saya sedih bila menerima berita kejadian demi kejadian melibatkan pelajar yang cedera parah mahupun maut jatuh daripada bangunan sekolah.
"Saya tidak ingin buat penilaian, kita serahkan kepada pihak berkuasa. Cuma paling merisaukan saya kalau ada sesuatu yang sedang berlaku dalam kalangan anak-anak kita tanpa kita sedari khususnya yang melibatkan jiwa dan kesihatan mereka," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan satu berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari bangunan di dalam kawasan sekolah berkenaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui talian MERS 999 pada jam 2.49 petang.
Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan setakat ini, pihak polis masih mengumpul keterangan daripada saksi dan meneliti semua aspek yang berkaitan.
Mengulas lanjut Radzi berkata, tidak dinafikan pendekatan dahulu ada kebaikannya namun perlu diingat ia perlu disesuaikan dengan peredaran zaman.
"Mungkin bagi kita, sesuatu perkara itu biasa namun amat luar biasa bagi mereka. Oleh itu sama-sama kita dekati dan fahami generasi pada hari ini.
"Jika ibu bapa dapat memahami keadaan dan persekitaran yang ditempuhi anak-anak pada hari ini tentunya kita dapat memberi sokongan dan dokongan kepada mereka melalui zaman penuh cabaran ini," ulasnya.