Penunggang motosikal wanita nyaris maut nahas tiga kenderaan

Iklan
Gambar tular memaparkan keadaan di lokasi kemalangan di Jalan Kuching menghala ke susur masuk Bulatan Kepong di sini pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita cedera selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuching menghala ke susur masuk Bulatan Kepong di sini pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan video kejadian yang tular di media sosial sebelum menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut.

Iklan
Iklan

“Hasil siasatan mendapati penunggang motosikal yang datang dari arah Jalan Kuching menghala ke Bulatan Kepong dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang Toyota Innova yang sedang berhenti untuk memasuki susur masuk ke Bulatan Kepong," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Zamzuri berkata, akibat pelanggaran itu, penunggang bersama motosikal tercampak ke lorong kanan jalan sebelum motosikal berkenaan dilanggar sebuah van Nissan Urvan yang sedang melalui laluan tersebut.

Iklan

"Penunggang motosikal yang merupakan wanita tempatan berusia 36 tahun mengalami kecederaan pada bahagian bahu dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, mangsa kini sedang menjalani pemeriksaan sinar-X bagi mengenal pasti tahap kecederaan yang dialami.

Iklan

"Pemandu Toyota Innova dan Nissan Urvan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-duanya telah membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

"Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.