KEMAMAN – Kerajaan negeri kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang memotong pelampung penanda tukun tiruan di Pantai Penunjuk, Kijal di sini baru-baru ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, perbuatan itu disifatkan seolah-olah satu cubaan oleh pihak terbabit untuk memonopoli khazanah laut di kawasan berkenaan demi kepentingan peribadi.
Menurutnya, kejadian itu dikesan pada 16 Jun lalu melibatkan tukun tiruan yang dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.
"Kita beri amaran tegas kepada semua pihak agar tidak mementingkan diri sehingga sanggup merosakkan harta awam yang disediakan demi manfaat seluruh komuniti nelayan.
"Sila laporkan segera kalau didapati ada yang jadikan tukun ini macam milik peribadi mereka. Kita akan ambil tindakan," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru komuniti Kijal untuk bersama-sama menjadi mata dan telinga kerajaan negeri bagi memantau kawasan perairan berkenaan.
Jelas beliau, lokasi penempatan tukun tiruan tersebut sememangnya sudah berada dalam makluman komuniti nelayan tempatan dan pengawasan rapi daripada warga Kijal amat diperlukan untuk mengekang kegiatan tersebut.
"Projek tukun tiruan tersebut dilabuhkan bertujuan untuk memulihara ekosistem marin dan menjadi tempat pembiakan ikan.
"Langkah ini dapat membantu meningkatkan pendapatan nelayan pesisir pantai secara adil, bukannya untuk dijadikan hak milik peribadi mana-mana individu, ujarnya.