PENUBUHAN Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merupakan antara reformasi keselamatan terbesar yang pernah dilaksanakan negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Tujuannya jelas dan baik iaitu menyelaras pengurusan pintu masuk negara agar lebih cekap, bersepadu dan berkesan dalam menghadapi cabaran keselamatan rentas sempadan yang semakin kompleks.
Dalam dunia hari ini, ancaman tidak lagi datang dalam bentuk konvensional semata-mata. Kita berdepan penyeludupan, pemerdagangan manusia, jenayah rentas negara, kemasukan pendatang tanpa izin, penyeludupan dadah serta pelbagai bentuk ancaman ekonomi dan keselamatan yang memerlukan tindak balas pantas dan tersusun.
Oleh itu, usaha kerajaan mewujudkan AKPS sememangnya mempunyai rasional yang kukuh dan wajar diberikan sokongan.
Namun begitu, seperti mana-mana reformasi besar dalam pentadbiran negara, kejayaan tidak hanya bergantung kepada niat yang baik. Ia bergantung kepada cara pelaksanaannya.
Dalam soal ini, beberapa perkara yang dibangkitkan oleh anggota di lapangan, kesatuan pekerja serta pihak yang terlibat secara langsung di pintu masuk negara perlu diberi perhatian secara terbuka dan matang.
Sebagai Ahli Parlimen yang mewakili kawasan sempadan negara di Padang Besar, saya melihat sendiri betapa pentingnya kestabilan institusi penguatkuasaan di pintu masuk negara.
Mereka yang bertugas di sempadan bukan sekadar menjalankan rutin harian, tetapi memikul amanah besar menjaga keselamatan negara dan kelancaran perdagangan antarabangsa.
Atas sebab itu, sebarang perubahan struktur yang melibatkan ribuan anggota perlu dilaksanakan dengan penuh keyakinan, kejelasan dan jaminan terhadap masa depan mereka.
Apa yang menjadi kebimbangan pada hari ini bukanlah mengenai kewujudan AKPS itu sendiri, tetapi bagaimana proses peralihan sedang dilaksanakan.
Ramai anggota masih ingin memahami dengan lebih jelas kedudukan mereka dari segi laluan kerjaya, peluang kenaikan pangkat, kekananan perkhidmatan serta bentuk perlindungan kebajikan yang akan mereka nikmati pada masa hadapan.
Dalam mana-mana organisasi, keyakinan anggota merupakan aset paling penting. Sekiranya anggota merasa tidak pasti, maka semangat dan motivasi kerja turut boleh terjejas.
Sedangkan mereka inilah yang menjadi tulang belakang kepada keberkesanan sistem keselamatan sempadan negara.
Kerajaan sebelum ini telah memberikan beberapa jaminan bahawa pegawai yang tidak memilih skim baharu tidak akan kehilangan pekerjaan atau hak mereka. Penjelasan ini amat dialu-alukan dan berjaya meredakan sebahagian keresahan yang timbul.
Namun dalam isu melibatkan masa depan ribuan penjawat awam, jaminan sahaja tidak mencukupi. Apa yang diperlukan ialah komunikasi yang berterusan, teratur dan telus supaya setiap anggota benar-benar memahami kedudukan mereka.
Dalam masa yang sama, terdapat juga persoalan berkaitan struktur pelaksanaan yang perlu diperhalusi. Banyak pihak berpendapat bahawa kekuatan sebenar pengurusan sempadan negara selama ini terletak pada kepakaran pelbagai agensi yang saling melengkapi.
Pegawai Imigresen mempunyai kepakaran tersendiri dalam kawalan kemasukan warga asing. Kastam mempunyai pengalaman luas dalam kawalan perdagangan dan cukai.
MAQIS pula memainkan peranan penting dalam aspek kuarantin dan biosekuriti. Polis Diraja Malaysia pula bertanggungjawab dalam aspek keselamatan dan pencegahan jenayah.
Semua agensi ini mempunyai budaya kerja, latihan dan kepakaran yang dibina selama puluhan tahun. Justeru, pendekatan yang paling sesuai mungkin bukan menggantikan kepakaran tersebut, tetapi menyatukannya di bawah satu sistem penyelarasan yang lebih cekap.
Dalam konteks ini, konsep AKPS sebagai platform penyelarasan nasional mempunyai potensi yang sangat besar. Apa yang penting ialah memastikan setiap agensi terus memainkan peranan profesional masing-masing sambil bergerak dalam satu ekosistem yang lebih tersusun.
Pendekatan sebegini bukan sahaja dapat mengelakkan pertindihan fungsi, malah dapat mengekalkan semangat semak dan imbang yang menjadi asas kepada tadbir urus yang baik.
Selain itu, aspek integriti juga perlu diberikan perhatian yang serius. Dalam mana-mana organisasi penguatkuasaan, integriti merupakan benteng pertama kepada keyakinan rakyat.
Sebab itulah mekanisme pemantauan, audit dalaman dan semakan silang antara agensi perlu terus diperkukuhkan.
Matlamatnya bukan kerana kita tidak mempercayai mana-mana pihak, tetapi kerana sistem yang baik mestilah dibina atas prinsip akauntabiliti yang jelas.
Dalam era teknologi hari ini, negara juga perlu melihat reformasi sempadan bukan sekadar dari sudut pertambahan struktur organisasi.
Tumpuan perlu diberikan kepada penggunaan teknologi seperti autogate, analitik data, profil risiko berasaskan kecerdasan buatan, integrasi maklumat penumpang dan sistem pengesanan pintar.
Pelaburan dalam teknologi akan memberikan pulangan yang lebih mampan dalam jangka panjang berbanding hanya bergantung kepada pertambahan tenaga kerja semata-mata.
Bagi negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak pula, pelaksanaan AKPS perlu sentiasa menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 serta kedudukan khas yang telah lama diiktiraf dalam sistem persekutuan negara.
Perkara ini penting bukan sahaja dari sudut perundangan, tetapi juga bagi memastikan reformasi yang dilaksanakan mendapat keyakinan semua pihak.
Akhirnya, kita harus melihat AKPS bukan sebagai isu antara agensi atau soal siapa mempunyai kuasa yang lebih besar. Isu sebenar ialah bagaimana kita mahu membina sebuah sistem kawalan sempadan yang moden, cekap, berintegriti dan diyakini oleh rakyat.
Keselamatan sempadan adalah kepentingan nasional yang melangkaui politik. Justeru, segala pandangan yang dikemukakan perlu dilihat sebagai usaha memperkukuhkan dasar kerajaan, bukannya menolak reformasi yang sedang dilaksanakan.
Saya percaya kerajaan mempunyai niat yang baik dalam memperkenalkan AKPS. Namun reformasi yang baik juga memerlukan ruang untuk penambahbaikan.
Dalam soal keselamatan negara, langkah yang dilaksanakan secara berperingkat, teliti dan berasaskan konsensus selalunya akan menghasilkan keputusan yang lebih kukuh dan berkekalan.
Jika dilaksanakan dengan hikmah, AKPS mampu muncul sebagai model pengurusan sempadan moden yang menjadi kebanggaan negara. Tetapi untuk mencapai matlamat tersebut, keyakinan anggota di lapangan, kejelasan dasar dan kestabilan institusi perlu berjalan seiring.
Itulah asas sebenar kepada keselamatan negara yang mampan.Saya terus mendoakan kejayaan buat AKPS.
*** Penulis ialah Ahli Parlimen Padang Besar