SHAH ALAM – Juruukur wanita pertama negara, Allahyarham Normah Abdullah, 72, terus menabur jasa kepada masyarakat apabila organ dan tisu didermakannya selepas meninggal dunia bakal membantu sekurang-kurangnya lima pesakit yang memerlukan.
Allahyarham yang juga bekas Pensyarah Kanan Bidang Sains Ukur dan Geomatik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh pada Sabtu lalu.
Hospital Sungai Buloh dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, hasrat murni Allahyarham sebagai penderma organ telah ditunaikan oleh anak-anaknya selepas beliau diisytiharkan mengalami kematian otak.
"Proses pendermaan organ dan tisu itu berjaya dilaksanakan pada 21 Jun (Ahad) lalu. Semasa hidupnya (Normah) mendidik anak bangsa, di akhir nafasnya tetap menabur jasa.
"Melalui anugerah kehidupan ini, organ dan tisu yang didermakan bakal menyelamatkan dan mengubah hidup sekurang-kurangnya lima orang pesakit," menurut kenyataan itu pada Isnin.
Hospital Sungai Buloh turut memaklumkan, kes pemerolehan organ itu melakar sejarah baharu dalam kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Usaha itu melibatkan Pasukan Pembedahan Hepatobiliari Universiti Malaya (UM) bersama beberapa pasukan perubatan lain bagi menjayakan proses pemerolehan organ dan tisu berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menerusi hantaran berasingan menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarhamah yang disifatkan sebagai juruukur wanita pertama negara.
Menurut JUPEM, Allahyarhamah meninggal dunia di hospital itu pada jam 5.20 petang pada Sabtu lalu.
Allahyarham disembahyangkan di Surau Al-Ittihadiyah, Seksyen 9 di sini selepas Solat Asar pada Ahad sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.