KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,059 kes kemalangan akibat aktiviti pendakian di seluruh negara direkodkan dengan 63 daripadanya melibatkan kematian bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, jumlah itu adalah berdasarkan rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurutnya, bagi rekod kecederaan pula, sebanyak 87 kes dilaporkan.
“ Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia memandang serius aspek keselamatan rekreasi hutan dan aktiviti pendakian di seluruh negara.
“Bagi memastikan aktiviti rekreasi di Hutan Simpanan Kekal (HSK) diurus secara sistematik, JPSM dengan sokongan pembiayaan daripada United Nations Development Programme (UNDP) telah membangunkan Garis Panduan Kebangsaan Penilaian dan Pengurusan Risiko Gunung (MoGRAM) sebagai rujukan teknikal mitigasi risiko dan pengurusan kapasiti laluan pendakian,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai jumlah kemalangan dan kematian akibat aktiviti pendakian yang direkodkan dalam tempoh lima tahun serta usaha yang sedang digerakkan bagi mewujudkan piawaian keselamatan nasional di semua laluan pendakian di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, JPSM turut mewajibkan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) di 189 kawasan pendakian berisiko tinggi.
Ujarnya, MGP yang berperanan sebagai jurupandu arah bertauliah turut menyokong aspek keselamatan pendaki, tindak balas kecemasan serta pematuhan kepada amalan pendakian selamat.
“Sehingga kini, seramai 2,322 orang daripada komuniti setempat termasuk masyarakat Orang Asli telah ditauliahkan sebagai MGP melalui Program Pembangunan Kemahiran MGP,” katanya.
Beliau menambah, kawasan perlindungan di bawah seliaan Perhilitan pula memberi fokus kepada penerapan standard antarabangsa Sistem Pengurusan Keselamatan Kembara Pelancongan (ISO 21101:2014 – Adventure Tourism Safety Management System, ATSMS).
Piawaian itu, katanya, digunakan bagi menstrukturkan mekanisme pengurusan risiko, tahap kecekapan kakitangan, prosedur tindakan kecemasan serta penyelenggaraan peralatan dan fasiliti.