KAJANG – Seorang pemandu e-hailing direman tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan kes memukul bekas isterinya di kawasan parkir awam berhampiran Balai Polis Bandar Baru Bangi, di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian kes berkenaan.
"Suspek direman tiga hari, punca kejadian dalam siasatan," katanya ringkas dalam kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, media melaporkan polis menerima laporan kejadian susulan rakaman video kejadian itu tular di media sosial pada pukul 2.51 petang Ahad.
Naazron dilaporkan berkata, hasil siasatan membawa kepada penahanan suspek berusia lingkungan 20-an pada jam 6.20 petang Isnin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Afiq Rifdi Mohd. Azmi di talian 011-29667474 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, satu rakaman video yang memaparkan seorang wanita dipukul seorang lelaki di kawasan parkir awam berhampiran balai polis berkenaan tular di platform Threads dan mengundang pelbagai reaksi netizen.