Penumpang India dipenjara enam bulan cabul pramugari Singapore Airlines

Iklan
Pesawat milik Singapore Airlines berada di landasan Lapangan Terbang Changi Airport di Singapura dalam gambar fail bertarikh 8 Disember 2020. Foto: Reuters/Edgar Su

SINGAPURA – Seorang penumpang warga India dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas didapati bersalah mencabul seorang pramugari penerbangan Singapore Airlines (SIA) serta mengganggunya sehingga menyebabkan tekanan emosi ketika dalam penerbangan menuju ke Singapura.

Mahkamah pada Isnin turut mengarahkan Akash Tiwari, 35, membayar pampasan kira-kira S$1,270 (RM4,062) kepada mangsa bagi trauma emosi dan kos perubatan yang ditanggung.

Iklan
Iklan

Tiwari mengaku bersalah atas satu pertuduhan mencabul kehormatan wanita dan satu lagi pertuduhan menyebabkan tekanan melalui tingkah laku mengancam.

Menurut fakta kes, kejadian berlaku pada Februari lalu ketika tertuduh menaiki penerbangan ke Singapura bersama empat rakannya.

Iklan

Kumpulan itu dilaporkan berkelakuan bising sepanjang penerbangan dan sering melambai serta ketawa setiap kali kru wanita melalui lorong tempat duduk mereka.

Sebelum pesawat berlepas, mangsa yang bertugas sebagai pramugari menghampiri kumpulan tersebut untuk mengesahkan pilihan makanan penumpang.

Iklan

Ketika berbuat demikian, Tiwari menghulurkan tangannya dan menyentuh bahagian atas paha mangsa.

Mangsa terkejut dengan tindakan itu, namun tertuduh dan rakan-rakannya hanya mentertawakannya.

Pramugari tersebut kemudian memaklumkan kejadian itu kepada penyelianya dan diarahkan untuk bertugas di lorong lain bagi mengelakkan sebarang interaksi dengan tertuduh.

Bagaimanapun, selepas hidangan selesai disajikan, Tiwari sekali lagi mengganggu mangsa.

Ketika mangsa sedang menolak troli makanan ke bahagian hadapan pesawat dengan membelakangi tempat duduknya, tertuduh secara tiba-tiba mencondongkan badan ke arah lorong dan melanggar bahagian punggung mangsa menggunakan sikunya.

Mahkamah dimaklumkan bahawa perbuatan itu dilakukan dengan sengaja bagi mencabul kehormatan wanita berkenaan.

Mangsa yang terkejut dan marah segera meminta Tiwari supaya tidak menyentuhnya, namun lelaki itu hanya tersenyum sinis tanpa menunjukkan sebarang penyesalan.

Lebih memburukkan keadaan, salah seorang rakannya yang dikenali sebagai Jay Shankar ketawa dan berkata dia mahu menikmati minuman sambil menonton 'pertunjukan', merujuk kepada reaksi mangsa selepas dicabul.

Mangsa kemudian membuat aduan kepada ketua pramugari yang seterusnya menemaninya bersemuka dengan Tiwari.

Namun, tertuduh terus menafikan sebarang salah laku dan mendakwa dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Tidak lama kemudian, kapten pesawat mengumumkan persediaan untuk mendarat sebelum mangsa beredar ke ruang kerja kru kabin bagi melaporkan kejadian tersebut secara rasmi.

Dalam insiden yang lebih membimbangkan, Tiwari didakwa mengekori mangsa ke ruang kerja kru kabin yang sempit dan tertutup, ketika tiada individu lain berada di kawasan itu.

Dia kemudian berdiri terlalu rapat dengan mangsa sehingga menyebabkan wanita berkenaan berasa terancam.

Walaupun telah beberapa kali diminta menjauhkan diri, tertuduh terus menghampiri dan menghalang pergerakan mangsa.

Pramugari itu akhirnya menjerit meminta bantuan sebelum bergegas ke lorong penumpang, namun Tiwari terus mengekorinya dari belakang.

Beberapa penumpang dilaporkan menyaksikan kejadian tersebut.

Mangsa kemudian mendapatkan bantuan ketua pramugari dalam keadaan menangis, ketakutan dan tangannya menggigil akibat trauma yang dialami.

Tiwari akhirnya meninggalkan mangsa selepas kapten pesawat melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa penerbangan dan logistik di Lapangan Terbang Changi.

Satu laporan polis dibuat sebaik pesawat mendarat sebelum tertuduh ditahan pihak berkuasa.

Pendakwa raya berkata, perbuatan cabul dan gangguan yang dilakukan tertuduh menjadi lebih serius kerana ia berlaku dalam suasana galakan daripada rakan-rakannya, sekali gus menambah penderitaan emosi yang dialami mangsa.

Bagi kesalahan mencabul kehormatan wanita, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, sebatan atau gabungan hukuman tersebut.

Sementara itu, bagi kesalahan menggunakan tingkah laku mengancam sehingga menyebabkan tekanan kepada mangsa, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum S$5,000 (RM16,000) atau kedua-duanya sekali. – Agensi