Madani Mart bukan inisiatif kerajaan tapi jenama perniagaan peruncitan swasta - Armizan

Iklan
Armizan - Foto: Jabatan Penerangan

KUALA LUMPUR – Madani Mart yang diterajui Yayasan Madani merupakan jenama perniagaan peruncitan swasta, bukannya inisiatif kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendaftaran lesen dan pengoperasiannya melibatkan hubungan antara yayasan berkenaan dan perniagaan yang dilesenkan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, meskipun Madani Mart tidak melibatkan bidang kuasa secara langsung Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), terdapat dua perkara yang menyentuh tanggungjawab kementerian itu.

“Pertama, Yayasan Madani telah didaftarkan melalui agensi KPDN iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Pendaftaran dibuat di bawah Seksyen 45, Akta Syarikat 2016 sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan.

Iklan

“Kedua, mana-mana pihak atau entiti perniagaan yang menjalankan aktiviti berkaitan barang kawalan berjadual adalah tertakluk kepada peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan perlu mendapatkan Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) daripada KPDN,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN – Hulu Terengganu) mengenai status terkini pelaksanaan inisiatif Madani Mart termasuk jumlah cawangan yang telah beroperasi, jumlah permohonan diterima dan jumlah usahawan yang terlibat.

Iklan

Mengulas lanjut, Armizan berkata kedua-dua syarat berkenaan dikenakan ke atas semua premis peruncitan yang menyimpan, membekal atau menjual barang kawalan berjadual.

Berdasarkan rekod kementerian, katanya, dua cawangan Madani Mart memiliki lesen CSA yang didaftarkan atas dua entiti perniagaan yang bertindak sebagai operator.

“KPDN sentiasa menyokong sebarang inisiatif yang dapat meningkatkan akses rakyat kepada barangan keperluan harian pada harga yang berpatutan serta membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan,” katanya.