Penyertaan dalam PN perkukuh penyatuan politik Melayu - Pejuang

Iklan
Mukhriz. - Foto: FB Mukhriz Mahathir

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan penyertaan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai satu langkah ke arah memperkukuh perpaduan politik Melayu dan membina kepimpinan negara yang lebih berwibawa.

Menurut beliau, penyatuan ummah serta membina kekuatan politik menjadi keutamaan dalam keadaan negara berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi, sosial, keselamatan dan politik.

Iklan
Iklan

“Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pembentukan sebuah saf perjuangan yang lebih besar demi masa depan negara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mukhriz berkata, partinya akan terus berpegang teguh kepada prinsip integriti, keadilan, tadbir urus yang baik serta komitmen untuk memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Iklan

Beliau menyifatkan perkembangan itu lebih daripada sekadar kemasukan parti lain ke dalam gabungan politik.

“Sebaliknya, ia adalah permulaan kepada penyatuan kekuatan yang lebih besar demi menyelamatkan negara daripada perpecahan, ketidakstabilan dan kegagalan kepimpinan yang semakin meresahkan rakyat.

Iklan

“Semoga langkah ini menjadi titik permulaan kepada usaha yang lebih besar dalam menyatukan kekuatan ummah dan membina Malaysia yang lebih stabil, selamat dan makmur,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Pejuang dan Parti Cinta Malaysia (PCM) diterima sebagai dua parti baharu dalam PN.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) di Pejabat Agung Pas malam tadi.