Sebahagian tulisan dalam dokumen diperiksa bukan ditulis Zara Qairina - Pakar

Iklan
Dr Linthini hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina.

KOTA KINABALU - Pakar pemeriksa tulisan tangan dan dokumen, Dr Linthini Gannetion memberitahu mahkamah di sini bahawa beberapa bahagian dalam dokumen yang diperiksa bukan ditulis oleh Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Malah Dr Linthini, 34, yang juga saksi ke-74 turut mengatakan bahawa terdapat petunjuk individu lain menulis dalam sebahagian dokumen yang dikaitkan dengan remaja tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut Dr Linthini, hasil analisis perbandingan saintifik terhadap dokumen W1, W2, W3 dan Y1 hingga Y15 mendapati dokumen W2 tidak digunakan secara eksklusif sebagai jurnal peribadi Zara Qairina kerana beberapa halaman mengandungi tulisan individu lain bersama tulisan mangsa.

Dr Linthini hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina.

Iklan

"Halaman-halaman dalam W2 yang mengandungi tulisan oleh individu lain bersama-sama tulisan Allahyarham Zara Qairina termasuk W2_PG45, W2_PG49 hingga W2_PG51, W2_PG58, W2_PG59, W2_PG61 dan W2_PG62.

"Penemuan ini menunjukkan bahawa individu lain mungkin mempunyai akses kepada W2 dan mungkin telah menulis di dalamnya," katanya dalam kenyataan saksi bertulis di Mahkamah Koroner pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap dokumen W3 turut menemukan lebih daripada satu corak tulisan tangan, dengan beberapa bahagian menunjukkan ciri-ciri yang tidak konsisten dengan tulisan tangan diketahui milik Zara Qairina.

Katanya, tulisan tangan pada halaman W3_2, W3_7 hingga W3_14, W3_25 hingga W3_37, W3_46, W3_58 hingga W3_64, W3_73 hingga W3_84 serta W3_86 hingga W3_89 didapati bukan ditulis oleh Zara Qairina.

"Sebahagian tulisan dalam W3 menunjukkan ciri-ciri yang tidak konsisten dengan tulisan tangan diketahui Allahyarhamah Zara Qairina dan mengandungi perbezaan ketara yang tidak dapat dijelaskan berbanding sampel tulisan tangan diketahui yang tersedia," katanya.

Allahyarham Zara Qairina

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi beberapa halaman lain dalam W3, beliau tidak dapat mencapai kesimpulan muktamad berikutan ketiadaan sampel tulisan tangan diketahui yang sezaman bagi tempoh berkaitan.

Dr Linthini berkata, pemeriksaan tulisan tangan itu dijalankan berdasarkan dokumen yang diserahkan termasuk W1, W2, W3 dan Y1 hingga Y15 serta sampel tulisan tangan diketahui milik Zara Qairina dan beberapa individu lain yang dirujuk sebagai Penulis A hingga Penulis J.

Beliau berkata, berdasarkan sampel yang diperiksa, tulisan tangan Zara Qairina menunjukkan perkembangan yang jelas dari 2023 hingga 2025, termasuk perubahan bentuk huruf, corak kecondongan, pembentukan angka dan cara pelaksanaan huruf tertentu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan turut mendapati tulisan tangan pada dokumen W1 dari halaman W1_PG1 hingga W1_PG28 mempunyai persamaan ketara dengan tulisan tangan Zara Qairina, manakala sebahagian besar kandungan dalam dokumen W2 juga konsisten dengan tulisan tangan mangsa bagi tempoh akhir April hingga Julai 2025.