PUTRAJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden kemalangan maut melibatkan pekerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana 1, Kuala Selangor pada 16 Jun lepas.
Menurut SPAN dalam kenyataan hari ini, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pihak sama ada operator iaitu Air Selangor atau kontraktor pemegang permit SPAN yang terlibat sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan prosedur.
Tindakan juga akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran kepada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan juga undang- undang subsidari di bawahnya yang berkaitan.
"Berdasarkan semakan SPAN, kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pencucian atau penyelenggaraan tersebut mempunyai permit berdaftar dengan SPAN.
"Berdasarkan maklumat awal, terdapat kemungkinan berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur keselamatan kerja di ruang terkurung, termasuk kemasukan pekerja tanpa kebenaran dan sebelum pengesahan keselamatan diberikan.
"Walau bagaimanapun, sebarang penemuan berkaitan punca sebenar kejadian adalah tertakluk kepada hasil siasatan rasmi dan laporan akhir yang akan dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)," menurut kenyataan itu.
SPAN memaklumkan pihaknya memandang serius insiden berkenaan, khususnya kerana ia melibatkan kehilangan nyawa.
Suruhanjaya itu menerima makluman berhubung insiden tersebut pada 17 Jun dan telah mengadakan lawatan tapak ke lokasi kejadian pada 18 Jun.
Berdasarkan maklumat diperoleh semasa lawatan, kerja-kerja pencucian kolam perkhidmatan secara berjadual telah dilaksanakan pada 16 Jun oleh vendor dilantik.
"Semasa kejadian, paras air di dalam kolam dilaporkan berada pada paras pinggang. Dua orang pekerja mengalami kesulitan berhampiran kawasan scour point berdiameter 200 mm.
"Seorang daripada mereka berjaya diselamatkan, manakala seorang lagi dilaporkan tersangkut di kawasan tersebut,” menurut kenyataan itu.
SPAN memaklumkan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) telah diberikan, namun mangsa disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital UiTM untuk tujuan bedah siasat.
"Punca kematian awal dilaporkan sebagai mati lemas. JKKP telah menjalankan lawatan ke lokasi pada 17 Jun dan seterusnya mengeluarkan Notis Larangan. Pada 18 Jun, SPAN bersama-sama pihak Air Selangor dan JKKP telah mengadakan lawatan susulan bagi mengenal pasti punca kejadian,” menurut kenyataan itu.
Menurut SPAN, wakil JKKP memaklumkan bahawa siasatan terperinci akan dijalankan bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum melaksanakan kerja-kerja berisiko tinggi.
"JKKP juga memaklumkan bahawa laporan penuh akan dikeluarkan setelah siasatan rasmi selesai dijalankan. Keselamatan dan kesihatan pekerjaan kekal sebagai keutamaan utama dalam semua pelaksanaan kerja penyelenggaran agar ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.
"Selain itu, langkah-langkah penambahbaikan akan terus diberi perhatian bagi memastikan pematuhan kepada prosedur keselamatan, kawalan kerja di ruang terkurung, pengawasan kontraktor serta pengurusan risiko di tapak kerja dilaksanakan dengan lebih ketat dan berkesan,” menurut SPAN.
Sebelum ini, media melaporkan kematian pelajar latihan industri dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Adam Danish Mohd Anuar, 23, ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana Perdana disahkan akibat lemas. - Bernama