NEW DELHI – Lebih dua juta pelajar di seluruh India terpaksa menduduki semula peperiksaan kemasukan ke program perubatan selepas pihak berkuasa membatalkan keputusan ujian terdahulu, lapor NHK News.
Langkah itu dibuat susulan skandal kebocoran kertas soalan yang mencetuskan kemarahan rakyat bulan lalu.
Peperiksaan yang berlangsung pada Ahad itu dikawal ketat dengan calon menjalani pemeriksaan badan, manakala peranti pengganggu isyarat (jammer) dipasang bagi menghalang sebarang cubaan penipuan.
Malah, anggota polis dan pasukan separa tentera ditempatkan di setiap pusat peperiksaan bagi memastikan proses ujian berjalan lancar tanpa sebarang insiden.
Agensi Ujian Kebangsaan India (NTA) memaklumkan lebih 95,000 bilik peperiksaan di seluruh negara dipantau menerusi kamera keselamatan sebagai langkah untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap sistem peperiksaan negara itu.
Kontroversi itu bermula apabila peperiksaan yang diadakan pada 3 Mei lalu didakwa bocor menerusi sebuah aplikasi media sosial sebelum ujian berlangsung.
Dakwaan kebocoran kertas soalan itu kini masih dalam siasatan.
Skandal berkenaan mencetuskan gelombang protes di beberapa bandar utama India apabila pelajar, ibu bapa dan aktivis pendidikan mempersoalkan tahap keselamatan serta integriti sistem peperiksaan negara itu.
Kemarahan orang ramai turut diterjemahkan ke pentas politik apabila penyokong parti satira 'Parti Rakyat Lipas' berhimpun di New Delhi pada Sabtu bagi mendesak Menteri Pendidikan meletakkan jawatan dan bertanggungjawab atas kegagalan tersebut.
Parti yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan generasi muda itu lahir daripada gerakan protes dalam talian terhadap Ketua Hakim Negara India selepas beliau mencetuskan kontroversi apabila membandingkan golongan belia yang menganggur dengan lipas.