Dua kanak-kanak ditemui maut dalam kereta akibat gelombang haba

Iklan
49 daripada 96 wilayah utama negara Perancis diletakkan di bawah amaran merah. Foto: The Guardian

PARIS – Dua kanak-kanak berusia dua dan empat tahun ditemukan maut di dalam kereta milik keluarga mereka di tenggara Perancis, lapor The Guardian pada Isnin.

Ketika ini, sebahagian besar negara Eropah berdepan gelombang haba ekstrem yang dijangka memecahkan rekod suhu tertinggi di negara itu.

Iklan
Iklan

Pendakwa Raya bandar Carpentras, Helene Mourges berkata, punca sebenar kematian masih dalam siasatan, namun cuaca panas melampau menjadi fokus utama penyiasatan.

“Kami masih menyiasat punca kematian, tetapi faktor haba merupakan petunjuk utama setakat ini,” katanya.

Iklan

Suhu di Carpentras dijangka melepasi 39 darjah Celsius pada Isnin.

Tragedi itu berlaku hanya beberapa hari selepas tiga warga emas berusia antara 80 hingga 95 tahun dilaporkan meninggal dunia berhampiran Bordeaux akibat masalah kesihatan yang dikaitkan dengan cuaca panas melampau.

Iklan

Dalam tempoh yang sama, 13 lagi individu dilaporkan lemas dalam beberapa insiden ketika mandi-manda dan berenang.

Pihak berkuasa Perancis pada Isnin meletakkan 49 daripada 96 wilayah utama negara itu di bawah amaran merah, iaitu tahap amaran tertinggi yang membawa risiko kepada nyawa.

Amaran tersebut melibatkan kira-kira 35 juta penduduk yang dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti fizikal berat, tidak terdedah kepada cahaya matahari secara langsung serta sentiasa berwaspada.

Enam lagi wilayah dijangka dimasukkan ke dalam senarai amaran merah pada Selasa, manakala 35 wilayah lain kekal di bawah amaran jingga.

Menurut agensi meteorologi negara, Météo-France, suhu yang sangat tinggi dijangka berterusan untuk tempoh yang panjang di seluruh negara.

Agensi itu meramalkan beberapa kawasan di barat dan tengah Perancis akan mencatatkan suhu melebihi 40 darjah Celsius bermula petang Isnin.

Bandar Bordeaux dijangka merekodkan suhu sehingga 43 darjah Celsius, diikuti Limoges (41 darjah Celsius), Toulouse dan Tours (40 darjah Celsius), manakala Paris pula dijangka mencapai 39 darjah Celsius.

Menurut Météo-France, suhu dijangka terus meningkat sehingga penghujung minggu ini.

Bukan sahaja suhu pada waktu siang mencatatkan bacaan luar biasa, malah suhu minimum pada waktu malam turut kekal tinggi dengan beberapa bandar merekodkan sekitar 25 darjah Celsius pada Ahad, sekali gus memecahkan rekod terdahulu.