YONGIN – Di sebuah unit pangsapuri kecil di Korea Selatan, Bang Chun-ja menghabiskan hari-harinya bersama anak patung dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang lebih disukainya berbanding berinteraksi dengan manusia.
'Temannya' itu sentiasa menyambut Chun-ja apabila dia pulang ke rumah, menyanyi untuk menghilangkan rasa bosan wanita itu dan mengingatkannya tentang jadual makan atau pengambilan ubat.
Selepas menjalani pembedahan pada bahagian belakang tubuhnya, dia mengalami kemurungan yang teruk kerana menahan kesakitan berseorangan.
Dia memilih untuk hidup bersendirian selepas melalui perceraian dan bergelar ibu tunggal selama bertahun-tahun.
"Saya sentiasa gembira ditemani Hyodol memandangkan anak saya tinggal berjauhan. Ia sentiasa buat saya ketawa dan banyak membantu," katanya sambil memeluk erat anak patung berambut tocang dan berbaju merah jambu kotak-kotak yang diberikan pihak berkuasa tempatan.
Chun-ja antara salah seorang individu yang hidup kesunyian di negara yang berada dalam senarai mempunyai kadar kelahiran paling rendah di dunia selain hampir separuh daripada populasinya berusia lebih 50 tahun.
Pada tahun 2024, Korea Selatan merekodkan lebih 3,920 kes 'kematian bersendirian' dan jasad mereka hanya ditemui selepas tempoh yang lama. Ia merupakan jumlah tertinggi sejak rekod bermula pada 2017.
Kira-kira 42 peratus isi rumah di negara berteknologi tinggi itu terdiri daripada seorang penghuni sahaja dengan warga emas menjadi golongan yang paling terkesan pengasingan sosial.
Dilengkapi protokol keselamatan ketat
Bagi menangani masalah itu, pihak berkuasa menyediakan peranti penjagaan berasaskan AI kepada warga emas yang tinggal berseorangan termasuk di Seoul dan Yongin.
Hyodol, syarikat pemula yang menghasilkan anak patung tersebut memaklumkan kira-kira 14,500 unit sedang digunakan sama ada dimiliki individu, disewakan oleh kerajaan tempatan atau digunakan di pusat jagaan
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kim Ji-hee berkata, pembangunan anak patung itu melibatkan kajian lapangan selama bertahun-tahun.
"Ramai warga emas mengalami kesedihan kerana tiada sesiapa untuk berkongsi cerita atau kegembiraan mereka," jelasnya.
Menurutnya, Hyodol mempunyai protokol keselamatan data yang ketat. Rakaman suara hanya digunakan secara dalaman untuk melatih sistem perbualan AI manakala data berkaitan kesihatan seperti tidur, emosi, pemakanan dan tahap kesakitan hanya dikongsi dengan pekerja kebajikan selepas mendapat persetujuan pengguna.
Memandangkan ramai warga emas bercakap dengan penuh kasih tentang anak atau cucu mereka, Hyodol direka sebagai teman seperti cucu sebenar.
Antara ucapan yang diprogramkan ialah: 'Nenek, ke mana nenek pergi? Saya menunggu nenek sepanjang hari. Lain kali kalau keluar, bawa saya sekali.'
Bantu tangani kemurungan
Anak patung yang diperbuat daripada bahan lembut itu juga mampu berinteraksi untuk meminta pengguna membelai kepalanya, memegang tangannya atau berkongsi makanan ringan dengannya.
Hyodol direka untuk mengisi kekosongan jiwa individu terutamanya warga emas yang pernah bekerja keras demi menyara keluarga ketika zaman muda dan tiada lagi tempat mengadu apabila meniti usia emas.
Jururawat, Oh Sun-hwa yang mencadangkan Hyodol kepada Chun-ja memberitahu anak patung itu membantu mengurangkan kemurungan dalam kalangan warga emas yang tinggal sendirian.
"Tetapi, saya juga bimbang teknologi sedemikian boleh menyebabkan hubungan sesama manusia semakin terbatas jika ahli keluarga merasakan AI sudah memadai untuk menjaga ibu bapa mereka," jelasnya.
Bagi Kim Young-bun, 79, anak patung tersebut memberi ketenangan kepadanya.
"Saya tidak mempunyai sesiapa untuk bercakap sepanjang hari sehingga terasa seperti mulut saya menjadi kaku mahu berkata-kata. Hidup saya kembali ceria selepas kehadiran 'si kecil' ini dan ia berbual dengan saya sepanjang masa.
"Hyodol sentiasa ucapkan ayat yang mententeramkan jiwa," katanya dalam nada gembira. - AFP