KAMPUNG Lubuk Gaharu adalah sebuah perkampungan Orang Asli yang terletak berhampiran Pos Musoh di Tapah, Perak tiba-tiba menjadi perhatian seluruh negara beberapa minggu lalu.
Lokasi terpencil itu menamatkan episod menjejaki Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih berhampiran.
Di sebalik peristiwa itu, ia membuka mata masyarakat terhadap realiti kehidupan komuniti Orang Asli yang masih berdepan pelbagai cabaran pembangunan dan infrastruktur.
Jaslinda ditemui berpaut pada jambatan gantung yang uzur merentasi Sungai Woh, jambatan yang menjadi laluan penduduk mencari rezeki.
Hakikatnya cabaran yang dihadapi penduduk tidak terhenti di situ.Jalan menuju ke kampung terpencil itu walaupun berturap, ia tidaklah sempurna dengan banyak kerosakan serta berlopak selain laluan berliku dan berbukit.
Perjalanan dari simpang utama Jalan Tapah-Cameron Highlands menuju ke perkampungan itu mengambil masa sejam dengan menaiki pacuan empat roda atau menunggang motosikal.
Dalam era pendigitalan yang semakin pesat, komuniti yang memiliki lebih 80 penduduk itu masih berdepan kekangan asas seperti ketiadaan liputan telekomunikasi dan capaian internet selain bergantung penggunaan generator bagi menikmati bekalan elektrik.
Infrastruktur yang baik merupakan pemangkin kepada peningkatan kualiti hidup, pembangunan sosial dan seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi.
Menerusi laporan Pemacu 11 di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035, data menunjukkan sebanyak 737 kampung (86 peratus) telah dibekalkan dengan bekalan elektrik, 736 kampung (86 peratus) telah menerima bekalan air bersih, 755 kampung (88 peratus) telah menerima pembinaan jalan kampung dan 16,639 keluarga Orang Asli telah menerima faedah daripada pembaikan rumah, pembinaan rumah baharu dan projek kemudahan.
Setakat 2025, sebanyak 317 kampung Orang Asli telah diwartakan dengan keluasan 36,094.165 hektar berbanding sasaran 363 kampung.
Kelewatan pewartaan tanah lebih luas menyukarkan pelaksanaan lebih banyak projek pembangunan di kawasan terbabit termasuk di pedalaman.
Kekurangan infrastruktur asas seperti jalan, bekalan air bersih dan elektrik turut memberi implikasi kepada kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat serta tersisih peluang untuk menerima manfaat sepenuhnya program seperti keusahawanan digital dan perkembangan arus perdana
Masyarakat Orang Asli mempunyai beberapa kekuatan utama dalam pengurusan sumber semula jadi yang mana pengetahuan tradisional yang diwarisi turun-temurun membolehkan mereka memahami ekosistem tempatan dengan baik serta mengamalkan kaedah pengurusan yang lestari.
Dari sudut peluang, pengiktirafan antarabangsa terhadap Orang Asli membuka ruang kerjasama dengan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi akademik.
Ironinya, jambatan gantung yang uzur menjadi lokasi Jaslinda ditemui juga akhirnya mendapat perhatian kerajaan negeri Perak malah, MCA turut menyalurkan wang untuk baik pulih jambatan yang menjadi nadi utama penduduk untuk mencari rezeki.
Di sebalik angka dan laporan, masih terdapat komuniti yang menunggu akses kepada kemudahan asas yang sepatutnya dinikmati mereka dan penemuan Jaslinda membuka lembaran baharu mengenai keperluan mempercepat agenda pembangunan masyarakat Orang Asli.
*Noor Ainon Mohamed Yusof ialah wartawan Sinar Harian