Konon menang jongkong emas, pekerja pembersihan rugi RM77,600

Iklan
Mohd Alwi (tengah) ketika sidang media di IPK Perak pada Isnin.

IPOH - Dua pekerja pembersihan wanita kerugian kira-kira RM77,600 selepas diperdaya sindiket ‘gores dan menang’ yang menawarkan hadiah jongkong emas palsu dalam kejadian minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, salah seorang mangsa berusia 62 tahun menerima panggilan telefon pada 14 Jun lalu yang memaklumkan dia memenangi hamper cabutan bertuah dan diminta hadir ke stesen bas Taiping untuk mengambil hadiah berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setibanya di lokasi, mangsa dipujuk masuk ke dalam sebuah kenderaan yang dinaiki dua wanita dan seorang lelaki sebelum diberikan hamper.

“Mangsa kemudian diminta menekan roda cabutan bertuah pada sebuah tablet dan dimaklumkan memenangi jongkong emas seberat 100 gram.

Iklan

“Mangsa menerima jongkong emas tersebut tanpa menyedari ia sebenarnya palsu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.

Mohd Alwi berkata, suspek kemudian meminta mangsa menyerahkan rantai leher emas yang dipakainya bagi membolehkan dia menyertai cabutan bertuah seterusnya.

Iklan

Menurutnya, mangsa sekali lagi diminta menekan roda cabutan bertuah dan diberitahu memenangi satu lagi jongkong emas.

“Bagi mendapatkan hadiah itu, mangsa menyerahkan lebih banyak barang kemas termasuk rantai leher, anting-anting dan beberapa barang kemas lain menyebabkan kerugian RM59,000.

“Suspek berjanji akan kembali menyerahkan hadiah berkenaan, namun gagal berbuat demikian dan tidak dapat dihubungi,” katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas menunggu lama dan mendapati jongkong emas yang diterima adalah palsu.

Dalam perkembangan sama, Mohd Alwi berkata, polis turut mengesan satu lagi kes menggunakan modus operandi serupa di Ipoh pada Oktober tahun lalu yang melibatkan seorang lagi pekerja pembersihan wanita berusia 62 tahun.

Katanya, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM18,600 selepas menyerahkan barang kemas, kad ATM dan nombor PIN kepada suspek yang menjanjikan hadiah jongkong emas menerusi cabutan bertuah.

Susulan itu, katanya, polis menjalankan risikan sebelum menahan lima suspek terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki berusia antara 22 hingga 40 tahun dalam serbuan di Melaka dan Selangor pada 19 Jun lalu.

“Polis turut merampas sembilan telefon bimbit, sembilan kad sim, sebuah tablet, 16 keping baucar cabutan bertuah, beberapa helai pakaian serta kasut yang digunakan ketika memperdayakan mangsa dan dua beg silang.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM10,000,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bermula 20 hingga 23 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Alwi menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang tawaran cabutan bertuah yang mensyaratkan penyerahan wang tunai atau barang kemas.