ISTAF gantung lima pemain, tiga pegawai Thailand

Iklan
Lima pemain yang dikenakan pertuduhan ialah Wichan Temkort, Jakkrit Thinbangbon, Phutawan Sopa, Sittipong Khamchan dan Chattuphon Siriart.

PERSEKUTUAN Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menggantung sementara penglibatan lima pemain serta dua jurulatih dan seorang pengurus pasukan kebangsaan Thailand daripada semua aktiviti rasmi sepak takraw di bawah badan itu sehingga prosiding disiplin terhadap mereka selesai.

Tindakan itu diambil susulan insiden yang berlaku ketika perlawanan akhir Piala Dunia ISTAF di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu.

Iklan
Iklan

ISTAF dalam kenyataan memaklumkan, keputusan untuk memulakan prosiding disiplin dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin badan itu pada 19 Jun selepas meneliti laporan dan maklumat berkaitan insiden berkenaan.

Prosiding itu membabitkan dakwaan bahawa anggota Regu Ketiga Thailand enggan meneruskan perlawanan walaupun telah diarahkan berbuat demikian oleh pegawai perlawanan mengikut Undang-Undang Permainan dan Peraturan Pertandingan.

Iklan

Siasatan turut meliputi peranan dua jurulatih serta pengurus pasukan kebangsaan Thailand yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden terbabit.

Lima pemain yang dikenakan pertuduhan ialah Wichan Temkort, Jakkrit Thinbangbon, Phutawan Sopa, Sittipong Khamchan dan Chattuphon Siriart.

Iklan

Menurut ISTAF, notis prosiding disiplin serta surat pertuduhan sudah diserahkan secara rasmi menerusi Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT), dengan setiap responden diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan jawapan bertulis sebelum kes diteruskan ke peringkat pendengaran.

Sementara menunggu keputusan muktamad, kesemua responden tidak dibenarkan menyertai, melatih, mengurus, mengadili atau terlibat dalam sebarang pertandingan, kejohanan dan aktiviti sepak takraw yang diiktiraf ISTAF.

Bagaimanapun, ISTAF menjelaskan arahan interim itu bersifat pentadbiran dan pencegahan bagi memastikan integriti proses disiplin terpelihara serta tidak boleh dianggap sebagai hukuman atau bukti bahawa mana-mana individu terbabit telah didapati bersalah.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan yang menyertai pertandingan anjuran badan itu mempunyai tanggungjawab untuk menghormati peraturan pertandingan serta kuasa pegawai perlawanan.

“Sepak takraw dibina atas nilai hormat, disiplin, semangat kesukanan dan integriti. Permulaan prosiding disiplin ini mencerminkan komitmen ISTAF untuk melindungi integriti pertandingan sambil memastikan setiap responden menerima perbicaraan yang adil dan saksama,” katanya.

Beliau berkata, ISTAF akan terus memastikan setiap pertandingan di bawah kelolaannya dikendalikan mengikut piawaian profesionalisme dan tadbir urus tertinggi.

Sehubungan itu, badan induk berkenaan tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut sehingga proses disiplin selesai.