JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas pertuduhan mendedahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun kepada kecederaan fizikal, Disember tahun lepas.
Yulia Arnida, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Zainol.
Bekas pembantu rumah yang berasal dari Aceh itu didakwa mendedahkan kanak-kanak berkenaan kepada kecederaan fizikal dengan cara menarik rambut sehingga kepala mangsa terangkat serta menarik tangan kanan mangsa dengan kasar sehingga menyebabkan lebam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Ledang, Taman Johor, di sini pada 21 Disember 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Manushri Suthakar memohon mahkamah memberikan jaminan RM20,000 serta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Peguam Jason Tan Ka Yan yang mewakili tertuduh pula memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya mempunyai dua anak berusia tujuh dan lapan tahun yang masih bersekolah di Aceh selain perlu menanggung ibu bapa yang uzur.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selepas pihak pembelaan memaklumkan pasport wanita itu berada dalam simpanan pihak ketiga dan tidak dapat diserahkan kepada mahkamah seperti yang disyaratkan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Kluang sehingga dokumen perjalanan sementara diperoleh daripada pihak Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru serta menetapkan 29 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. - Bernama