SEREMBAN - Walaupun perhatian masyarakat lazimnya lebih tertumpu kepada ibu tunggal, golongan bapa tunggal turut berdepan cabaran besar dan memerlukan sokongan terutama dari aspek penjagaan anak serta emosi.
Sehubungan itu, Pertubuhan Khidmat Masyarakat Malaysia mengambil inisiatif meraikan 10 bapa tunggal di sekitar daerah ini sempena sambutan Hari Bapa sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka.
A Maran, 40, yang bekerja sebagai tukang mesin rumput berkata, sepanjang lebih 10 tahun bergelar bapa tunggal, ini pertama kali dia diraikan seumpama itu.
Menurutnya, ramai menganggap golongan bapa tunggal sebagai individu yang cekal dan mampu mengharungi segala cabaran sendirian, namun hakikatnya mereka juga memerlukan perhatian dan sokongan.
“Saya berpisah dengan isteri pada 2014 dan membuat keputusan menjaga dua anak yang ketika itu berusia sembilan dan 11 tahun selepas mendapati bekas isteri meninggalkan mereka bersama ibunya.
“Sejak itu saya menguruskan semuanya sendiri. Memang mencabar, tetapi saya lebih tenang apabila anak-anak berada di depan mata,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, segala kesukaran yang dilalui selama ini dipendam sendiri, namun program berkenaan membuatkan dirinya berasa dihargai.
Katanya, masyarakat sering membuat tanggapan bahawa perceraian berpunca daripada masalah yang dilakukan oleh lelaki, sedangkan realitinya tidak semua kes berlaku sedemikian.
Sementara itu, M Jason, 50, yang menghidap strok sejak empat tahun lalu berkata, dia berpisah dengan isterinya ketika anak perempuan mereka berusia lapan tahun.
"Sebelum diuji dengan masalah kesihatan, saya bekerja sebagai pengurus kanan di sebuah syarikat, tapi dengan keadaan sekarang saya hanya mampu buat kerja sambilan.
"Susah memang susah....tapi rezeki tetap ada dan sepanjang bergelar bapa tunggal, inilah kali pertama saya diraikan dalam majlis sebegini kerana biasanya hanya ibu tunggal yang diberi perhatian," katanya.
Sementara itu, Kamarudin Ahmad, 49, yang kematian isteri tahun lalu berkata, bukan mudah baginya menguruskan tiga anak yang masih bersekolah seorang diri.
"Banyak perubahan bila isteri tiada, saya kena uruskan semuanya dari A-Z.
"Setiap hari sebelum pergi kerja, saya akan masak dahulu untuk anak-anak dan meminta bantuan adik ipar untuk mengambil mereka di sekolah," katanya.
Dia yang bekerja sebagai operator kilang berkata, program penghargaan kepada bapa tunggal seperti itu wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja memberi pengiktirafan, malah suntikan semangat kepada golongan berkenaan.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Khidmat Masyarakat Malaysia, Andrew Raju berkata, program berkenaan dianjurkan sebagai tanda ingatan kepada golongan bapa tunggal yang sering terpinggir daripada perhatian masyarakat.
“Menjadi seorang bapa tunggal bukan sesuatu yang mudah, terutama bagi mereka yang perlu membesarkan anak seorang diri.
“Justeru, kami berasakan golongan ini juga wajar diraikan kerana pengorbanan mereka yang sanggup memikul tanggungjawab menjaga dan membesarkan anak-anak tanpa pasangan," katanya.
Pada majlis berkenaan, setiap bapa tunggal turut diberi saguhati wang tunai berjumlah RM1,000 serta beberapa barangan daripada pelbagai pihak.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO negeri, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.