Tiada unsur jenayah pelajar Tingkatan Empat maut jatuh bangunan sekolah - Ketua Polis Negeri Sembilan

Iklan
Alzafny

SEREMBAN - Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian melibatkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut dipercayai terjatuh dari blok sebuah sekolah di Sendayan di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, hasil siasatan awal dan bedah siasat yang dijalankan mendapati, kematian pelajar berusia 16 tahun itu tidak menjurus ke arah kes buli dan seumpamanya.

Iklan
Iklan

"Bedah siasat sudah dijalankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, pada malam Jumaat lalu dan hasilnya, punca kematian dikenal pasti kerana kecederaan pada bahagian kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Menurutnya, kes kematiannya masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut(SDR), namun siasatan lanjut masih dilakukan.

Iklan

Tambahnya, setakat ini, seramai 10 ke 15 individu sudah dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan antaranya ibu- bapa pelajar terbabit, guru sekolah dan rakan sekolah mangsa.

"Cuma saya nak nasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan sendiri mengenai kejadian ini atau menyebarkan maklumat tidak sahih selain masyarakat diminta untuk menghormati keluarga remaja berkenaan," katanya.

Iklan

Sebelum ini Alzafny dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pelajar berkenaan yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sebuah sekolah menengah pada jam 10.48 pagi dan telah disahkan meninggal dunia.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyantuni keluarga pelajar berkenaan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau.

Beliau dilaporkan berkata, masyarakat perlu memberi ruang dan menghormati sensitiviti keluarga pelajar itu dan pihaknya memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang sedang berjalan.