KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat bagi meneliti Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya memutuskan tujuh syor bagi menambah baik pindaan RUU berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, syor berkenaan turut melibatkan pelantikan Pendakwa Raya oleh Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) tanpa pembabitan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.
Selain itu, proses pelantikan lebih telus dengan penglibatan Parlimen yang mana calon dicadangkan akan dimaklumkan kepada Parlimen untuk membolehkan pandangan diberikan kepada SPKP.
"Syor ketiga, tempoh jawatan tetap selama tujuh tahun tanpa pembaharuan atau pelantikan semula bagi mengukuhkan kebebasan institusi.
"Seterusnya, kewajipan untuk Pendakwa Raya mengemukakan laporan tahunan yang akan dibentangkan di Parlimen bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti institusi.
"Syor lain ialah penetapan kod etika khusus bagi Pendakwa Raya di mana pelanggaran kod itu boleh menjadi satu daripada alasan untuk penyingkiran daripada jawatan," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen, pada Isnin.
Pada 3 Mac lalu, Dewan Rakyat memutuskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat bagi memberi ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalusi dan meneliti RUU berkenaan.
Dalam pada itu Azalina memaklumkan, syor turut melibatkan peruntukan yang membolehkan Parlimen menggubal undang-undang lanjut berkaitan pelantikan, penyingkiran dan tanggungjawab pelapor Pendakwa Raya bagi memastikan reformasi ini dapat terus diperkukuh dari masa ke masa.
Selain itu turut disyorkan penegasan bahawa pelantikan Pendakwa Raya hendaklah dibuat hanya daripada calon yang disyorkan SPKP bagi memastikan proses pelantikan kekal berasaskan institusi dan bebas daripada pengaruh eksekutif.
Sementara itu, mengulas mengenai tindakan selepas mengemukakan usul untuk bacaan kali kedua RUU itu, Azalina berkata, jawatankuasa akan meneliti RUU termasuk mekanisme kebertanggungjawaban Pendakwa Raya dan mencadangkan apa-apa pindaan yang difikirkan perlu.
"Jawatankuasa Pilihan Khas itu terdiri daripada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang telah mengadakan tujuh mesyuarat dan menerima pembentangan serta pandangan pelbagai pihak berkepentingan daripada pelbagai aspek reformasi untuk diteliti secara menyeluruh.
"Jawatankuasa juga mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), profesional, ahli akademik, pakar perundangan dan organisasi masyarakat sivil.
"Pendekatan ini membolehkan jawatankuasa meneliti cadangan itu dari pelbagai sudut, termasuk implikasi perlembagaan, operasi, pentadbiran, sumber manusia, kewangan dan pengalaman negara lain yang melaksanakan model serupa," katanya.