Melaka benar nelayan berlesen tangkap ikan di kawasan larangan Pulau Besar bersyarat

Iklan
Aktiviti penangkapan ikan di kawasan larangan perikanan Pulau Besar kini dibenarkan kepada nelayan berlesen di Melaka secara bersyarat. - Gambar hiasan

MELAKA - Aktiviti penangkapan ikan di kawasan larangan perikanan Pulau Besar kini dibenarkan kepada nelayan berlesen di negeri ini secara bersyarat iaitu menggunakan vesel atau sampan tradisional yang mempunyai lesen sah dengan waktu operasi dari jam 6 pagi hingga 6 petang sahaja.

Selain itu, peralatan menangkap ikan yang dibenarkan adalah menerusi kaedah mengail seperti pancing, rawai dan candat sotong di kawasan yang telah ditetapkan di sebelah utara Pulau Besar.

Iklan
Iklan

Aktiviti memancing dari daratan Pulau Besar pula terus dibenarkan tanpa had masa sebagaimana yang ditetapkan pihak berkuasa.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah memberikan kebenaran khas itu menerusi Pekeliling Pelesenan Bilangan 2 Tahun 2026 yang tertakluk kepada syarat pelesenan serta pemantauan Jabatan Perikanan Malaysia (DoF).

Iklan

Menurutnya, keputusan yang dibuat pada 15 April lalu itu merupakan hasil perbincangan, rundingan dan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperjuangkan kebajikan serta kelangsungan hidup nelayan tempatan yang selama ini terkesan dengan sekatan aktiviti penangkapan ikan di kawasan berkenaan.

"Kawasan perairan Pulau Besar telah diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan sejak tahun 1998 di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 bagi tujuan pemuliharaan sumber marin dan biodiversiti.

Iklan

"Namun, kerajaan Persekutuan telah mengambil kira kepentingan sosioekonomi komuniti nelayan tempatan dan bersetuju memberikan kebenaran khas kepada nelayan berlesen Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bagi bulan Jun di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada Isnin.

Ab Rauf berkata, keputusan itu memberi keseimbangan antara usaha pemuliharaan sumber perikanan negara dengan keperluan rakyat untuk meneruskan sumber pendapatan mereka.

Katanya, melalui pekeliling DoF itu, beberapa syarat telah ditetapkan bagi memastikan aktiviti penangkapan ikan dilaksanakan secara terkawal dan lestari.

"Bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, satu sesi libat urus bersama wakil nelayan akan diadakan pada 25 Jun ini.

"Saya mahu setiap syarat, prosedur dan tatacara pelaksanaan disampaikan dengan jelas supaya kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti nelayan," katanya.

Beliau berkata, keputusan itu dijangka memberi manfaat besar kepada 1,241 komuniti nelayan tempatan selain membantu meningkatkan hasil tangkapan dan pendapatan mereka tanpa menjejaskan agenda pemuliharaan sumber marin negara.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan DoF bagi memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan serta menjamin kelestarian sumber perikanan untuk generasi akan datang.