KOTA KINABALU - Mahkamah Koroner yang mendengar inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir menyasarkan keputusan inkues dapat diketahui sebelum pembukaan Tahun Perundangan (Legal Year) tahun hadapan.
Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata, sasaran itu ditetapkan selepas mahkamah menyusun semula jadual prosiding yang dijangka berakhir pada 23 Oktober ini, sebelum arahan lanjut berkaitan penghujahan bertulis dan keputusan diberikan.
"Diharapkan keseluruhan prosiding dapat diselesaikan menjelang 23 Oktober. Selepas itu mahkamah akan menetapkan arahan bagi penghujahan bertulis dan juga keputusan.
"Sasaran sekarang adalah supaya keputusan dapat diberikan sebelum bermulanya 'Legal Year' yang berikutnya," katanya semasa prosiding tersebut di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.
Sebelum itu, mahkamah menetapkan prosiding seterusnya pada 13 hingga 17 Julai, 24 hingga 28 Ogos dan 7 hingga 8 September dengan memanggil beberapa lagi pakar untuk memberi keterangan di mahkamah sama.
Mahkamah turut menetapkan 9 hingga 10 September sebagai tarikh bapa Zara Qairina, Mahathir Hashim untuk memberikan keterangannya dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat dijadualkan pada 10 hingga 11 September manakala kakak tiri Allahyarham pula disenaraikan sebagai saksi dalam keadaan bersedia.
Saksi seterusnya ialah ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat dan pegawai penyiasat dijadualkan akan memberi keterangan mereka pada 5 hingga 23 Oktober.
Sementara itu, mahkamah belum membuat keputusan sama ada kakak tiri Zara Qairina akan dipanggil sebagai saksi dalam inkues berkenaan.
Koroner mengarahkan penyataan saksi kakak tiri tersebut diserahkan kepada semua pihak terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat, dengan perkara itu dijangka diputuskan pada prosiding akan datang.
Prosiding bersambung pada Selasa, dengan saksi seterusnya iaitu Pakar Pemeriksa Tulisan dan Dokumen iaitu Dr Linthini Gannetion.
Inkues dikendalikan pegawai pengendali iaitu Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus.
Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu di bawah bangunan asrama sebuah sekolah menengah agama di Papar.
Bagaimanapun, pelajar itu disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini.
tamat