SHAH ALAM - Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor membangkitkan persoalan sama ada kerajaan negeri mempunyai punca kuasa yang sah untuk membelanjakan RM355.06 juta di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor sekiranya ia tidak dibawa melalui rang undang-undang.
Mohd Shafie Ngah (PN- Sungai Ramal) berkata, berdasarkan pemahamannya terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, sebarang perbelanjaan melibatkan wang negeri perlu melalui proses yang diperuntukkan di bawah Perkara 87, 88 dan 89.
Menurut beliau, ketiga-tiga peruntukan itu meliputi belanjawan tahunan, belanjawan tambahan dan kuasa membelanjakan wang negeri yang pada hematnya perlu melalui pembentangan rang undang-undang.
"Rang undang-undang adalah punca kuasa bagi kerajaan untuk membelanjakan wang negeri," katanya ketika mencelah sesi perbahasan sidang khas DUN Selangor pada Isnin.
Mohd Shafie berkata, sekiranya tiada rang undang-undang dibentangkan, timbul persoalan sama ada kerajaan mempunyai kuasa untuk menyalurkan perbelanjaan yang diumumkan menerusi pakej berkenaan.
"Kalau tidak boleh (diluluskan), rugi kita bahas di Dewan ini kalau kerajaan tiada punca kuasa untuk membelanjakan wang itu kerana tidak melalui rang undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Speaker DUN Selangor, Lau Weng San menjelaskan, pakej itu tidak dibentangkan untuk tujuan mendapatkan kelulusan Dewan, sebaliknya bagi membolehkan wakil rakyat memberi pandangan dan cadangan kepada kerajaan negeri.
Menurut beliau, sidang khas itu diadakan di bawah peruntukan yang membolehkan Speaker memanggil mesyuarat lebih awal bagi membincangkan perkara berkepentingan awam.
"Apa yang dibentangkan di bawah peraturan ini bukan sesuatu yang bersifat khusus atau pun rang undang-undang, jadi ia tidak akan dibentangkan untuk keputusan atau kelulusan Dewan.
"Oleh sebab itu, ia akan dibahaskan dan kemudiannya dijawab oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)," ujar beliau.
Beliau berkata, tujuan utama perbahasan pakej itu adalah untuk mendapatkan input daripada wakil rakyat mengenai langkah yang perlu atau boleh dilaksanakan kerajaan dalam membantu rakyat berdepan cabaran semasa.
Menurutnya, walaupun pakej yang diumumkan melibatkan peningkatan perbelanjaan kerajaan negeri, usaha membawa perkara itu ke DUN memberi ruang kepada wakil rakyat menyuarakan pandangan, ulasan dan cadangan sebelum ia dilaksanakan.
"Perbahasan ini adalah satu amalan yang baik kerana kerajaan sudi hadir ke DUN untuk mengetengahkan perkara ini kepada orang ramai melalui wakil rakyat," tambah beliau.
Jumaat lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari semasa Sidang Khas itu mengumumkan keseluruhan peruntukan pakej Fasa 1 dan 2 berjumlah RM355.06 juta sebagai usaha meningkatkan daya tahan ekonomi negeri serta melindungi kebajikan rakyat ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global.