Enam terkorban dalam nahas pesawat tentera Bolivia

Iklan
Enam maut selepas pesawat Tentera Udara Bolivia jenis Cessna FAB-409 terhempas di Cochabamba dengan pihak berkuasa memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca nahas. - Foto fail Xinhua

LA PAZ - Enam orang terbunuh apabila sebuah pesawat Tentera Udara Bolivia terhempas di kawasan pergunungan di wilayah Cochabamba, tengah Bolivia pada Ahad, menurut pihak tentera, lapor Xinhua.

Pesawat Cessna FAB-409 itu ditemukan di kawasan Tres Cruces, Sayari selepas beberapa jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Iklan
Iklan

Tentera udara kemudiannya mengesahkan tiada mangsa terselamat dalam nahas itu, menurut satu kenyataan.

Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa El Alto berhampiran ibu negara La Paz bagi melaksanakan misi sokongan dan pengangkutan di laluan La Paz-Cochabamba.

Iklan

Ia dilaporkan mengekalkan komunikasi seperti biasa dengan perkhidmatan kawalan trafik udara sebelum terputus hubungan, sekali gus mencetuskan pelaksanaan prosedur kecemasan.

Laporan awal pasukan mencari dan menyelamat menunjukkan kesemua enam orang yang berada di dalam pesawat itu terkorban dalam nahas berkenaan.

Iklan

Menurut tentera udara, pesawat tersebut digunakan untuk mengangkut dan membantu pesakit kanser sebagai sebahagian daripada program bantuan sosial dan khidmat masyarakat yang dilaksanakan di seluruh negara.

Mangsa yang terkorban terdiri daripada anggota tentera dan orang awam.

Lembaga Siasatan Kemalangan Aeronautik memulakan siasatan bagi menentukan sama ada kegagalan mekanikal, cuaca buruk atau faktor lain menjadi punca nahas, menurut kenyataan berkenaan. - Bernama