TUMPAT – Pembinaan dewan orang ramai baharu di Masjid An-Nur, Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu di sini yang direka lebih mesra orang kurang upaya (OKU) dan warga emas kini mencapai 35 peratus siap.
Imam Tua Masjid An-Nur, Wan Fakhrulrazi Wan Mahmood berkata, projek bernilai RM450,000 itu dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Menurut beliau, dewan baharu tersebut dibina di aras bawah bagi memudahkan pergerakan pengguna terutama warga emas dan individu yang mempunyai masalah mobiliti.
“Setakat ini kerja pembinaan berjalan lancar dan mencapai kira-kira 35 peratus siap,” katanya ketika meninjau tapak pembinaan dewan berkenaan.
Beliau berkata, dewan itu bakal digunakan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan termasuk majlis kenduri, perkahwinan, mesyuarat, kursus serta program anjuran komuniti setempat.
Menurutnya, kemudahan tersebut juga selaras dengan usaha pihak masjid untuk mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan mesra kepada semua golongan.
“Masjid bukan sahaja tempat beribadah, tetapi turut berperanan sebagai pusat penyatuan masyarakat.
“Justeru, kemudahan yang dibina perlu dapat diakses dan dimanfaatkan oleh semua,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu menampung kos pembinaan dewan berkenaan boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam atas nama Masjid An-Nur di nombor 03018010048197.