SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan perlu tampil memberikan penjelasan yang jelas, telus dan berfakta terhadap semua isu yang dibangkitkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin berkata, penjelasan tersebut tidak harus dilihat sebagai usaha mempertahankan diri daripada kritikan.
Sebaliknya menurut beliau, ia sebagai tanggungjawab kerajaan untuk memastikan rakyat memahami bagaimana sistem kewangan Persekutuan berfungsi, apakah formula pengagihan hasil kepada negeri serta mengapa terdapat kelewatan dalam pelaksanaan beberapa projek pembangunan.
“Kegagalan kerajaan memberikan penjelasan akan membuka ruang kepada pelbagai tafsiran dan spekulasi. Dalam konteks politik semasa, persepsi sering kali lebih kuat daripada fakta.
“Jika keadaan ini dibiarkan, rakyat mungkin melihat seolah-olah wujud pertentangan terbuka antara Istana Johor dan Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, walaupun kedua-dua institusi mempunyai peranan yang berbeza dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, persepsi sedemikian boleh memberi implikasi besar terhadap kestabilan politik dan keyakinan rakyat.
Mohamad Hafis berkata, lebih membimbangkan, isu itu berlaku ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka menjadi antara pilihan raya negeri paling sengit dalam sejarah.
Malah katanya, pembangkang mungkin menggunakan titah tersebut untuk menggambarkan bahawa Kerajaan Persekutuan gagal menjaga kepentingan Johor.
Oleh itu menurutnya, adalah lebih baik jika kerajaan memilih pendekatan diplomasi institusi berbanding polemik politik.
Katanya, wakil kerajaan, sama ada Perdana Menteri atau menteri yang berkaitan, perlu menjelaskan keadaan sebenar secara profesional tanpa mewujudkan sebarang persepsi bahawa kerajaan sedang berkonfrontasi dengan institusi diraja.
“Dalam konteks federalisme, hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seharusnya bergerak ke arah model yang lebih kolaboratif.
“Negeri-negeri yang menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara sememangnya mengharapkan tahap autonomi pentadbiran yang lebih besar dalam aspek tertentu, khususnya yang melibatkan pembangunan tempatan.
“Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan pula bertanggungjawab memastikan pengagihan sumber dilakukan secara adil dengan mengambil kira keperluan seluruh negara,” katanya.
Ujarnya, dari sudut politik, perkembangan berkenaan dijangka memberi kesan langsung terhadap PRN Johor.
Katanya, berbeza dengan pilihan raya sebelum ini yang banyak dipengaruhi isu nasional seperti kos sara hidup dan kestabilan politik, PRN kali ini berpotensi menyaksikan isu autonomi Johor, pembangunan negeri dan kecekapan Kerajaan Persekutuan menjadi antara naratif utama.
“Pengundi Johor secara tradisinya mempunyai rasa identiti kenegerian yang kuat. Oleh itu, mana-mana parti yang berjaya meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu mempertahankan kepentingan Johor tanpa menjejaskan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan berpotensi memperoleh kelebihan politik.
“Namun begitu, parti-parti politik juga perlu berhati-hati agar tidak mengeksploitasi titah institusi diraja untuk kepentingan kempen," katanya.