MELAKA – Misteri kehilangan seorang pempengaruh media sosial yang sedang melakukan siaran langsung berunsur paranormal di sebuah resort di sini sejak Jumaat lalu akhirnya terungkai apabila lelaki itu ditemukan dalam keadaan lemah di tandas awam berhampiran kawasan Skytrex Adventure Melaka, Taman Botanikal, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas berkata, mangsa berusia 34 tahun dilaporkan membuat siaran langsung paranormal pada jam 8.30 malam, Jumaat lalu sebelum siaran tersebut terputus secara tiba-tiba kira-kira jam 9 malam.
Menurut beliau, rakan mangsa kemudian cuba menghubunginya serta menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp, namun tidak menerima sebarang maklum balas sebelum laporan kehilangan dibuat.
ARTIKEL BERKAITAN: Hilang dua hari, pempengaruh paranormal ditemukan lemah dalam tandas di Taman Botanikal
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, lelaki berkenaan ditemukan oleh orang awam pada kira-kira jam 3.03 petang tadi.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan berkaitan kehilangan mangsa pada jam 12.18 tengah hari sebelum menggerakkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian kurang seminit kemudian.
“Operasi pencarian dijalankan di kawasan resort terbabit serta sekitar Taman Botanikal dengan bantuan polis dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
“Mangsa akhirnya ditemukan dalam keadaan lemah di tandas awam berhampiran kawasan Skytrex Adventure Melaka sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Hafidzatullah turut mengingatkan orang ramai supaya segera memaklumkan kepada pihak berkuasa atau JBPM melalui talian NG999 sekiranya berlaku kecemasan termasuk kes kehilangan individu.
Menurutnya, JBPM merupakan agensi peneraju dalam operasi menyelamat seperti yang ditetapkan menerusi arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Tindakan orang awam menjalankan operasi pencarian secara bersendirian boleh menimbulkan risiko keselamatan serta implikasi undang-undang, selain berpotensi mewujudkan situasi ‘krisis dalam krisis’.
“Sekiranya notifikasi kepada pihak berkuasa dibuat lewat, ia boleh menyebabkan radius pencarian menjadi lebih luas, menjejaskan penggunaan sumber dan meningkatkan pelbagai risiko lain,” katanya. – Bernama