Thailand keluar kad pengenalan khas kepada 80,000 pelarian Myanmar di sempadan

Iklan
Pelarian berada di Kem Pelarian Mae La di Mae Sot, wilayah Tak, Thailand, pada 5 Mac 2025. - Agensi

BANGKOK – Thailand melancarkan program pengeluaran kad pengenalan rasmi kepada kira-kira 80,000 warga Myanmar yang menetap di pusat perlindungan sementara di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar, dalam usaha memperkukuh pengurusan penduduk dan mengurangkan penipuan identiti.

Program itu dilancarkan secara rasmi pada 18 Jun lalu di Pejabat Daerah Suan Phueng, wilayah Ratchaburi oleh Jabatan Pentadbiran Wilayah di bawah Kementerian Dalam Negeri Thailand.

Iklan
Iklan

Kad pengenalan baharu itu dilengkapi data biometrik termasuk cap jari dan imej wajah, selain dihubungkan dengan pangkalan data kerajaan. Setiap kad turut mempunyai kod QR bagi tujuan pengesahan identiti.

Menurut Jabatan Pentadbiran Wilayah, sistem itu dibangunkan bagi mengurangkan penipuan identiti, membanteras pemerdagangan manusia serta meningkatkan keupayaan kerajaan melindungi dan mengurus komuniti pelarian yang telah menetap di Thailand sejak beberapa dekad lalu.

Iklan

Pengeluaran kad akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pelarian yang sedang bekerja sebelum diperluaskan kepada semua individu berusia lima tahun ke atas.

Sejak Thailand membuka akses pekerjaan secara sah kepada pelarian pada Oktober 2025, lebih 5,500 orang telah memasuki sektor pekerjaan formal negara itu.

Iklan

Pelaksanaan program tersebut bagaimanapun mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sebahagian rakyat Thailand yang bimbang kad berkenaan boleh membuka jalan kepada tuntutan kewarganegaraan pada masa depan.

Namun, pihak berkuasa menegaskan kad itu tidak memberikan sebarang status kewarganegaraan Thailand.

Dokumen tersebut hanya mengenal pasti pemegangnya sebagai individu yang melarikan diri daripada konflik bersenjata di Myanmar dan tidak mewujudkan sebarang hak atau keistimewaan sebagai rakyat Thailand.

Kira-kira 45 peratus daripada 80,000 pelarian yang tinggal di pusat perlindungan sempadan dilahirkan di Thailand dan tidak pernah menetap di Myanmar.

Ramai daripada mereka hidup selama beberapa dekad di kem pelarian dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan, selain menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan, rawatan kesihatan serta perkhidmatan asas akibat ketiadaan dokumen rasmi.

Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menyifatkan komuniti itu sebagai antara kumpulan pelarian paling lama terlantar di dunia, dengan sebahagian besar tidak mempunyai prospek realistik untuk pulang ke Myanmar kerana konflik yang masih berterusan.

Wakil UNHCR di Thailand, Tammi Sharpe berkata, dokumentasi rasmi merupakan asas penting untuk membolehkan pelarian memperoleh pekerjaan dan berdikari.

“Akses kepada dokumen pengenalan membantu pelarian keluar daripada pergantungan terhadap bantuan kemanusiaan. Langkah praktikal ini membolehkan kemahiran dan pengalaman mereka dimanfaatkan untuk manfaat komuniti setempat serta ekonomi Thailand,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya Tinggi Operasi UNHCR, Raouf Mazou menyifatkan kad berkenaan sebagai lebih daripada sekadar dokumen pengenalan diri.

“Bagi pelarian Myanmar di Thailand, kad ini bukan sekadar dokumen. Ia adalah pintu kepada perlindungan, kestabilan dan peluang.

“Kad ini membantu mengembalikan maruah, membuka peluang baharu dan membolehkan pelarian membina masa depan yang lebih bermakna,” katanya.

Beliau turut memuji pendekatan Thailand sebagai contoh yang boleh dicontohi negara lain yang berdepan isu pelarian berpanjangan.

UNHCR memaklumkan pihaknya memberikan sokongan kewangan bagi penghasilan kad tersebut, yang dilaksanakan susulan resolusi Kabinet Thailand pada Ogos 2025 yang membuka akses pekerjaan secara sah kepada pelarian di pusat perlindungan sementara.

Konflik yang berterusan di Myanmar terus mendorong kemasukan pelarian ke Thailand, dengan pihak keselamatan dan agensi kemanusiaan memantau rapat perkembangan di kawasan sempadan kedua-dua negara.- Agensi