IMPIAN pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk memulakan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) REpublik Czech dari kelompok hadapan tidak kesampaian selepas dikenakan penalti 12 petak grid susulan kesalahan ketika sesi kelayakan Q2 di Litar Brno, hari ini.
Hakim Danish yang pada awalnya mencatat masa yang membolehkannya bermula dari petak kedua, terpaksa akur diturunkan ke petak ke-14 selepas panel pengadil mendapati beliau menunggang terlalu perlahan di beberapa sektor litar sehingga mengganggu pelumba lain ketika sesi kelayakan berlangsung.
Keputusan itu memberi tamparan kepada pelumba berusia 18 tahun berkenaan yang sebelum ini mempamerkan prestasi meyakinkan sepanjang hujung minggu, termasuk berada dalam kelompok pelumba terpantas dalam beberapa sesi latihan.
Turut menerima hukuman sama ialah pelumba Indonesia, Veda Pratama yang diturunkan 12 petak grid daripada kedudukan kelapan ke petak ke-20.
Meskipun penalti berkenaan menjejaskan peluangnya untuk bermula di barisan hadapan petang nanti (5 petang waktu Malaysia), Hakim Danish masih memiliki peluang cerah untuk mencipta kebangkitan berdasarkan kepantasan yang dipamerkan sepanjang saingan di Brno.
Pelumba kelahiran Terengganu itu sebelum ini menunjukkan kemampuan bersaing dengan kelompok teratas dan dijangka mampu memberikan tentangan sengit dalam perlumbaan sebenar, terutama jika berjaya memanfaatkan permulaan yang baik serta mengekalkan rentak konsisten.
Tumpuan kini terarah kepada kemampuan Hakim Danish untuk mengharungi cabaran dari petak ke-14 dan meneruskan momentum positif yang dipamerkan sepanjang minggu perlumbaan, dalam usaha memburu kedudukan terbaik serta mengutip mata berharga dalam kempen Moto3 musim ini.
Hakim Danish kini berada di kedudukan ke-10 daripada 27 pelumba dengan mengutip 48 mata keseluruhan.
Tangga teratas saingan Moto3 dihuni Maxiamo Quiles (CFMOTO Aspar Team) dengan 170 mata, diikuti Alvaro Carpe (Red Bull KTM Factory Racing) dengan kutipan 111 mata serta Marco Morelli (CFMOTO Aspar Team) di tempat ketiga dengan 77 mata.
Selepas ini, saingan Moto3 akan bersambung di GP Belanda pada 28 Jun.