MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada Selasa lalu memaklumkan ibu bapa kini boleh dikenakan hukuman atau liabiliti undang-undang secara bersama, jika anak mereka diputuskan bersalah oleh Tribunal Bagi Antibuli atas perbuatan buli.
Ia selari dengan ketetapan yang terkandung dalam Akta Antibuli 2026 (Akta 876), bertujuan memastikan keluarga pelaku kes buli turut memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap salah laku moral dilakukan anak.
Malah, Presiden Tribunal Bagi Antibuli, Nurul Husna Awang berkata, Seksyen 43 Akta 876 memperuntukkan pampasan maksimum RM250,000 kepada mangsa kes buli.
Pelaku juga tertakluk kepada jenis perintah lain sama ada permohonan maaf, hapus kandungan siber, bayar perbelanjaan munasabah, pampasan atau ganti rugi serta keperluan menghadiri sesi kaunseling.
Pujian wajar diberikan apabila prosiding tribunal dilapor berlangsung tertutup, sama ada secara fizikal, dalam talian atau hibrid dengan keseluruhan prosesnya mesra kanak-kanak.
Pelaksanaan tersebut menandakan titik mula perubahan besar dalam pendekatan Malaysia menangani isu buli iaitu memberi fokus kepada pelaku, dalam masa sama mengikat tanggungjawab keluarga.
Dari sudut dasar, ia membawa mesej jelas bahawa isu buli bukan lagi dianggap kes terpencil yang hanya melibatkan individu, sebaliknya refleksi kepada pengawasan dan didikan dalam institusi keluarga.
Kerajaan berpendapat penglibatan ibu bapa dalam liabiliti undang-undang akan mendorong pemantauan lebih ketat di samping meningkatkan kesedaran tentang kesan serius perbuatan buli yang boleh membawa kepada trauma jangka panjang terhadap mangsa.
Namun demikian, pelaksanaan konsep tersebut juga membuka ruang perdebatan.
Ada yang melihat ia langkah progresif untuk memperkukuh disiplin sosial, tidak kurang juga menyatakan kebimbangan masing-masing.
Segelintirnya menganggap pendekatan sedemikian seperti terlalu menghukum keluarga, terutama dalam kes di mana ibu bapa mungkin tidak mempunyai kawalan penuh terhadap tingkah laku anak remaja.
Apa pun, Akta Antibuli 2026 memperlihatkan peralihan dasar yang lebih tegas dan kolektif dalam menangani isu buli.
Dengan meletakkan tanggungjawab bersama kepada ibu bapa, kerajaan mahu memastikan pencegahan bermula dari rumah, bukan cuma di sekolah atau selepas kes dibicarakan di mahkamah.