Batu jadi ‘senjata’ pertahan diri

Iklan
Anjing-anjing jalanan berkeliaran di kawasan kampung menyebabkan ketakutan dalam kalangan penduduk. - Gambar kecil dari kiri Nor Faizatul Nadia, Norazrin, Tuan Azizam dan Nor Faizah

IPOH – Penduduk di Kampung Cik Zainal, Chemor di sini khususnya golongan suri rumah semakin bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka berikutan gangguan anjing jalanan yang didakwa semakin berleluasa di kawasan berkenaan.

Populasi haiwan tersebut yang semakin bertambah juga mencetuskan suasana tidak tenteram di kampung berkenaan apabila jemaah surau turut diganggu.

Iklan
Iklan

Kejadian dikejar anjing bukan lagi perkara asing buat seorang suri rumah, Nor Faizatul Nadia Mohd Nadzir, 34, malah insiden itu pernah melibatkan ahli keluarganya sendiri.

Menurutnya, abangnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pernah berdepan detik cemas apabila dikejar sekumpulan anjing ketika berjalan kaki ke surau yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah.

Iklan

“Dia sempat melarikan diri dan tidak sempat digigit, tetapi kejadian itu sangat menakutkan.

“Sekarang ini anak-anak pula susah nak keluar bermain atau beriadah pada waktu petang sebab kami risau keselamatan mereka.

Iklan

Seorang lagi penduduk, Norazrin Mustafa, 40, turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila pernah dikejar dua ekor anjing besar ketika menghantar anak ke sekolah.

Katanya, kebimbangan semakin memuncak selepas satu video tular memaparkan anak saudaranya diserang anjing ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah baru-baru ini.

“Anak saudara saya berusia 15 tahun, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor.

“Kejadian itu merupakan kali pertama dia berdepan situasi sedemikian dan kini trauma.

“Dia memang ke sekolah menaiki basikal seorang diri. Jadi ini ancaman yang sangat bahaya kepada pelajar sekolah. Kita pun tak pasti berapa banyak sebenarnya anjing-anjing ini. Kalau dibiarkan, mungkin lebih ramai akan jadi mangsa,” katanya yang juga suri rumah.

Sediakan batu dalam raga motosikal

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Tuan Azizam Tuan Muhammad, 45, berkata, dia sendiri pernah menyaksikan seorang pelajar terjatuh dari motosikal selepas dikejar anjing pada awal April lalu.

“Pelajar itu terjatuh dan nampak seperti diterkam. Sejak itu, saya terpaksa letak batu dalam raga motosikal sebagai langkah berjaga-jaga untuk halau anjing.

“Pagi-pagi memang banyak anjing berkeliaran. Saya baru setahun tinggal di sini pun sudah lihat beberapa insiden yang membimbangkan,” katanya.

Tambahnya, penduduk kini bukan sahaja bimbang risiko serangan, malah kemungkinan penularan penyakit bawaan haiwan tersebut.

Sementara itu, Nor Faizah Bakri, 44, memaklumkan adiknya pernah menjadi mangsa apabila terlibat dalam kemalangan selepas dikejar anjing pada 23 Februari lalu.

“Adik saya sedang menunggang motosikal ke tempat kerja sekitar jam 9 pagi sebelum dikejar anjing. Dia terjatuh dan mengalami retak tulang rusuk hingga terpaksa dimasukkan ke wad selama lima hari.

“Kejadian itu menyebabkan dia tidak dapat bekerja buat sementara waktu,” kata suri rumah itu.

Dia turut berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

Azizah menunjukkan laporan polis yang dibuat menyatakan kebimbangan terhadap gangguan anjing jalanan di Kampung Cik Zainal, Chemor di sini.

Dalam perkembangan sama, aktivis masyarakat, Azizah Abd Hamid mendakwa masalah anjing jalanan di kampung tersebut telah berlarutan lebih tiga tahun, namun masih belum menemui penyelesaian tuntas.

Menurutnya, kehadiran anjing jalanan bukan sahaja mengganggu keselamatan, malah turut menjejaskan kehidupan harian penduduk.

“Anjing ini datang pagi dan malam, terutama waktu orang nak pergi solat subuh atau anak-anak ke sekolah. Haiwan peliharaan seperti arnab juga habis mati diserang.

“Saya sendiri pernah membantu menangkap dan membuang kira-kira 20 ekor anjing, termasuk tiga induk, tetapi masalah tetap berulang,” katanya.

Tambahnya, pelbagai aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan pihak polis, namun tindakan yang diambil masih tidak mencukupi.

“Sejak 26 Mac lalu sahaja, lebih lima aduan telah dibuat secara terus kepada pegawai penguat kuasa MBI. Mereka ada datang dan buat tangkapan tapi anjing-anjing masih mengganggu penduduk.

“Penduduk sudah tidak boleh berdiam diri lagi kerana keselamatan semakin terancam, terutama di laluan utama dan jalan ke surau,” ujarnya.

Penduduk berharap tindakan segera dan menyeluruh dapat diambil oleh pihak berkuasa tempatan bagi menangani isu tersebut sebelum lebih ramai menjadi mangsa.

Dalam pada itu semasa tinjauan di Laluan Muafakat di kampung tersebut mendapati aduan tersebut berasas kerana terdapat sekurang-kurangnya empat ekor anjing jalanan tersebut keluar dari belukar berhampiran sambil menyalak ketika kenderaan di parkir berhampiran kawasan berkenaan.