Tuntut tebusan RM18,000: Polis tahan lelaki, mangsa culik

Iklan
M Kumar

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menyelamatkan seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang didakwa diculik serta menahan seorang lelaki tempatan dalam operasi khas di Taman Perniagaan Setia di Johor Bahru pada Sabtu.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati naratif kejadian culik yang diberikan mangsa menimbulkan keraguan, menyebabkan wanita berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menerima laporan polis daripada seorang wanita tempatan berusia 43 tahun pada Jumaat.

"Pengadu mendakwa anak perempuannya telah diculik individu tidak dikenali yang menuntut wang tebusan sebanyak RM18,000.

Iklan

“Susulan laporan diterima, satu pasukan khas daripada JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ IPK Johor dan JSJ IPK Sarawak ditubuhkan bagi melaksanakan operasi menyelamat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kumar berkata, operasi itu tertumpu di sekitar bandar raya Johor Bahru yang dikenal pasti sebagai lokasi terakhir mangsa dikesan.

Iklan

"Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun turut ditahan di lokasi sama bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tiga rekod tangkapan membabitkan dua kes dadah dan satu kes jenayah.

“Polis turut merampas empat unit telefon bimbit untuk tindakan siasatan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.

"Permohonan reman terhadap kedua-dua individu termasuk mangsa akan dibuat pada Ahad mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.

“Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan serta memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.