20 mangsa kepala air Ulu Geruntum berjaya dipindahkan ke PPS

Iklan
Seramai 20 mangsa, termasuk tiga bayi dan ibu mengandung yang terkandas akibat kejadian kepala air di Kampung Ulu Geruntum, Kuala Razila, Gopeng semalam berjaya dipindahkan ke PPS di Dewan Bandaraya Gopeng hari ini.

IPOH - Seramai 20 mangsa, termasuk tiga bayi dan ibu mengandung yang terkandas akibat kejadian kepala air di Kampung Ulu Geruntum, Kuala Razila, Gopeng semalam berjaya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Bandaraya Gopeng hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi itu berjaya memindahkan kesemua mangsa yang terperangkap selepas jambatan utama yang menghubungkan kawasan penempatan mereka runtuh akibat arus deras.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.57 pagi sebelum 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dan agensi lain dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Anggota kami membantu mangsa memakai peranti pengapungan peribadi keluar dari lokasi dan dipindahkan dengan selamat ke PPS di Dewan Bandaraya Gopeng. Operasi menyelamat dan membawa mangsa ke PPS ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.15 petang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Iklan

Beliau berkata, paras air berkedalaman 1 meter dan jarak antara tebing sungai adalah 50 meter manakala arus yang sedikit deras ketika membawa mangsa menyeberangi sungai di lokasi itu.

Semalam, kejadian kepala air yang berlaku menyebabkan jambatan utama di kampung berkenaan runtuh, sekali gus memutuskan laluan keluar masuk penduduk dan menyebabkan mangsa terkandas. - Bernama

Iklan