Kerajaan salur RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA 2026

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth pada Sabtu. Foto Bernama.

PERMATANG PAUH - Kerajaan memperuntukkan RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA 2026 bagi meneruskan usaha membantu kebajikan pengamal media yang memerlukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu diberikan susulan kejayaan inisiatif kebajikan yang dilaksanakan menerusi tabung berkenaan sebelum ini yang telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM2.6 juta kepada 773 warga media.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bantuan itu mencerminkan semangat ihsan dan kasih sayang yang terus menjadi teras dalam usaha menjaga kebajikan pengamal media di negara ini.

“Kerana kejayaan ini, kerana semangat ihsan dan kasih, maka Tabung Kasih@HAWANA bagi tahun 2026 diberi peruntukan RM1 juta,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen Picca di sini pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan kerajaan bersetuju meneruskan Dana Inovasi Media yang sebelum ini diperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi membantu organisasi media melaksanakan inovasi dan memperkukuh transformasi digital industri berkenaan.

Iklan

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 72 syarikat media telah menerima pembiayaan keseluruhan berjumlah RM24.57 juta menerusi Dana Inovasi Media Fasa 1 hingga Fasa 5.

“Kerajaan bersetuju untuk meneruskan peruntukan Dana Inovasi Media bagi membantu organisasi media negara melaksanakan inovasi dan pengukuhan operasi transformasi digital industri media," katanya.

Menurut beliau, kerajaan akan terus memastikan dana yang disediakan dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak berdepan kekurangan bagi menyokong pembangunan industri media negara.

“Jadi kita sediakan peruntukan dan sebaik dana itu digunakan, tentunya kita tambah supaya tabung itu tidak akan ketinggalan atau kekurangan.

“Jadi ini berita baik untuk negara,” katanya.

Anwar turut meminta pengamal media agar terus melaksanakan tanggungjawab menyampaikan maklumat secara berkesan kepada masyarakat.

“Jalankanlah kerja yang baik. Kita perlu menyampaikan maklumat secara berkesan.

“Semoga ALLAH SWT merestui usaha kita bersama,” katanya.