PASUKAN e-sukan tempatan, Todak, menjangkakan pulangan pelaburan (ROI) daripada usaha penjenamaan semula dan pengembangan ekosistem perniagaannya dapat dicapai dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Todak Culture, Nurul Hakimi Haque Fazlul Haque berkata, perkembangan penjenamaan semula Todak di Malaysia dan Indonesia menerima maklum balas yang sangat positif daripada komuniti peminat e-sukan.
Menurutnya, mereka memahami Todak masih kekal bersama komuniti dan industri walaupun tidak lagi bertanding secara kompetitif.
"Atas sebab itu, kami bukan sekadar mengekalkan identiti sebagai pasukan e-sukan, tetapi telah menjenamakan semula pasukan kepada sebuah ekosistem yang lebih menyeluruh.
"Kini, kami terlibat dalam pelbagai bidang termasuk akademi, penjualan produk, pembangunan permainan dan pelbagai inisiatif lain yang menyokong industri e-sukan secara keseluruhan.
"Kami yakin dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) industri permainan video dan ekosistem yang sedang kami bangunkan, sasaran ROI itu adalah realistik dan boleh dicapai," ujarnya.
Dalam pada itu, Nurul Hakimi Haque memberitahu, pihaknya bercadang menambah lebih ramai panel dan tetamu jemputan dalam Podcast Todak.
"Fokusnya bukan sahaja kepada permainan atau pertandingan, tetapi juga aspek pendidikan, peluang kerjaya dan bagaimana ekosistem industri ini berfungsi.
"Podcast tersebut selari dengan visi Todak untuk menjadi platform yang memberi nilai tambah kepada komuniti melalui perkongsian ilmu dan pembangunan bakat dalam industri digital," ujarnya.
Diminta ulas mengenai pelancaran empat model kerusi ergonomik gaming dan tiga kerusi ergonomik pejabat, beliau berkata, setiap model telah melalui penilaian ergonomik profesional dan menerima pengiktirafan (endorsement) daripada pakar fisioterapi Physiogo.
Jelasnya, keempat -empat produk itu telah diuji, dinilai dan diberikan maklum balas oleh fisioterapi.
"Hasil daripada kerjasama dengan Physiogo lahirlah empat model baharu yang kini ditawarkan kepada pengguna.
"Inisiatif itu juga seiring dengan usaha mewujudkan persekitaran kerja dan pembelajaran yang lebih sihat sama ada di rumah atau di pejabat.
“Segala penambahbaikan dan pengalaman yang kami peroleh di Malaysia akan turut diterapkan di Indonesia bagi memastikan pengguna di sana menikmati kualiti produk dan pengalaman yang sama baik,” katanya.