PEKAN – Seorang bapa tidak menyangka pemberian kek daripada anaknya minggu lalu menjadi pemberian pertama dan terakhir apabila anaknya yang merupakan doktor perubatan itu maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 67, Jalan Kuantan-Segamat di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian itu, mangsa, Dr Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan dan anak perempuannya, Dhea Sofia, 2, maut selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Doktor, anak perempuan antara tiga maut dalam nahas
Dua maut, 7 cedera dalam nahas 3 kenderaan
Turut maut dalam kejadian itu ialah Ketua Penolong Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Cyberjaya, Azaharuddin Mohd. Ali, 46.
Bapa mangsa, Mohd Atan Daud, 67, berkata, kejutan itu dilakukan ketika arwah pulang ke rumah keluarga di Batu Anam, Segamat pada Ahad lalu.
“Tiada apa yang pelik pada masa itu dan arwah memaklumkan akan membawa saya ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, untuk mendapatkan rawatan susulan.
“Sebelum itu, arwah datang pada waktu malam menghantar kek ke rumah saya. Ini kali pertama dia berbuat demikian dan ia juga yang terakhir,” katanya pada Sabtu.
Bercerita lanjut, Mohd Atan memberitahu bahawa ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Segamat menuju ke Kuantan sebelum singgah di Muadzam Shah, Rompin, untuk mengambil ibu mentuanya.
Beliau mengakui hanya mengetahui insiden itu selepas dimaklumkan oleh jiran sebelum bergegas ke Hospital Pekan pada malam kejadian.
“Saya ingatkan dia cuma mengalami kemalangan biasa sahaja, tetapi tidak sangka arwah dan cucu meninggal dunia. Masa itu saya memang sedih,” ujarnya.
Sementara itu, ibu mangsa, Rosnah Wahid, 55, berkata, kunjungan terakhir anaknya ke rumah mereka meninggalkan kenangan mendalam apabila arwah berselera menikmati pelbagai juadah yang disediakan.
“Arwah cakap masakan mak sangat sedap pada masa itu, semuanya sedap dan dia juga menyatakan hajat membawa ayahnya mendapatkan rawatan susulan di hospital.
“Dia memang anak yang berbakti dan sentiasa mengambil berat urusan keluarga,” katanya.
Menurut Rosnah, arwah sentiasa meluangkan masa untuk keluarga walaupun sibuk bertugas sebagai doktor.
Katanya, menjadi rutin anak kedua daripada empat beradik itu pulang ke rumah di Batu Anam setiap Ahad serta ke rumah mentuanya di Muadzam Shah pada setiap Jumaat.
“Walaupun sibuk bekerja, dia tetap mencari masa untuk bersama keluarga,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah pikap yang cuba memotong lori hilang kawalan sebelum memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Antara yang cedera ialah isteri kepada Dr. Mohamad Zekry Zuhairy, Dr. Hana Ibrahim, 35, serta ibu bapanya yang berusia 72 dan 80 tahun, selain beberapa penumpang MPV termasuk seorang wanita dan anak lelakinya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.